Gamel yakin Selangor FC mampu ke pentas final Piala Malaysia
Ketua jurulatih interim Selangor FC, Christophe Gamel, tetap optimis terhadap peluang pasukannya untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia meskipun tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium MBPJ.
Menurut Gamel, menegaskan bahawa prestasi yang ditampilkan oleh anak buahnya memberi keyakinan besar bahawa Selangor berada di landasan tepat untuk mencabar kejuaraan.
“Apa yang kami tunjukkan malam ini membuatkan saya benar-benar percaya Selangor ada peluang ke final Piala Malaysia.
Jika kami kekalkan tahap permainan ini dan ditambah dengan kehadiran pemain baharu, saya yakin dalam beberapa bulan ke depan keputusannya akan berbeza,”
katanya.
Tambah Gamel lagi, walaupun statusnya sekadar pengendali interim beliau telah berjaya mengubah mengubah identiti Selangor kepada corak permainan menyerang 4-3-3 yang lebih agresif.
Malah, beliau mengakui berjaya memulihkan keharmonian pasukan yang sebelum ini agak terpisah.
“Saya mengubah wajah pasukan ini sepenuhnya. Kami membangunkan bola sepak menyerang yang sesuai dengan mentaliti Selangor. Saya seorang ‘singa tua’ yang mempunyai kulit tebal. Apabila saya dalam satu misi, saya akan laksanakannya sehingga selesai.”
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kekalahan kepada JDT, Gamel menyifatkan gol pertama hasil biasan sebagai nasib malang, manakala gol kedua berpunca daripada kehilangan fokus ekoran kecederaan pemain pertahanan.
“RMS tidak gembira dengan keputusan, sudah tentu. Tetapi baginda gembira melihat karakter pemain yang bangkit melawan dan menunjukkan rasa lapar untuk bertarung.”
Gamel pada masa sama turut sempat mengulas mengenai nasibnya selepas timbul spekulasi mengenai pelantikan ketua jurulatih baharu.
“Interim tetap interim. Anda kena terima hakikat itu. Jika mereka kata berhenti, maka berhentilah. Adil atau tidak, biarlah penilaian dibuat berdasarkan apa yang saya capai. Saya tetap dedikasi kepada kelab ini.”
Sementara itu, Gamel berkata dengan kemasukan pemain seperti Mamadou Diarra dan seorang lagi pemain import tengah yang bakal diumumkan, beliau optimis Selangor kini berada di landasan tepat untuk mencabar kejuaraan dalam tempoh terdekat.