Ruben Amorim terima lebih RM54 juta pampasan dari Manchester United

42

Manchester United dilaporkan harus membayar sekitar £10 juta (RM54.8 juta) kepada Ruben Amorim susulan keputusan kelab itu untuk menamatkan kontraknya lebih awal.

Menurut laporan beberapa media antarabangsa, Amorim dilaporkan menerima jumlah tersebut sebagai bayaran terus selepas pemecatannya.


Ia merangkumi baki gaji dalam kontraknya yang masih berbaki, selaras dengan terma perjanjian yang ditandatangani ketika beliau dilantik sebagai pengurus Manchester United.

Pampasan tersebut menjadikan kos keseluruhan yang dikeluarkan oleh United untuk Amorim dikatakan mencecah hampir £27 juta (RM148.1 juta) hingga £30 juta (RM164.6).

Angka itu termasuk bayaran kepada Sporting Lisbon untuk melepaskan Amorim dari kontraknya sebelum ini, gaji yang dibayar sepanjang tempoh beliau mengendalikan pasukan, serta pampasan yang perlu dibayar selepas pemecatan.

Manchester United semalam mengumumkan pemecatan Ruben Amorim sebagai pengurus pasukan utama selepas hanya 14 bulan menerajui kelab itu, susulan ketegangan dalaman dan prestasi tidak konsisten musim ini.

Menurut kenyataan rasmi kelab, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara Amorim, Pengarah Bola Sepak Jason Wilcox dan Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada pada pagi Isnin.

Sepanjang menerajui kelab itu selama 14 bulan, beliau hanya mencatatkan 24 kemenangan daripada 63 perlawanan, bersamaan dengan 38.71 peratus rekod kemenangan, rekod terburuk sejak Frank O’Farrell pada 1971.