Real Madrid pecat Xabi Alonso, lantik Alvaro Arbeloa sebagai pengganti

58

Real Madrid mengumumkan bahawa Xabi Alonso tidak lagi menjadi ketua jurulatih pasukan utama selepas hanya kurang lapan bulan memegang tugas tersebut di Santiago Bernabeu.

Keputusan itu dibuat selepas kekalahan 3–2 kepada Barcelona dalam aksi final Piala Super Sepanyol, yang dilihat menjadi titik kemuncak kepada tekanan terhadap prestasi pasukan.


Alonso, yang tiba dengan reputasi cemerlang selepas membawa Bayer Leverkusen muncul kuasa baharu di Bundesliga, gagal mengekalkan konsistensi keputusan bersama Real Madrid musim ini.

Walaupun mempamerkan permulaan yang positif, prestasi pasukan mula merosot dengan beberapa kekalahan penting di liga dan pentas Eropah.

Pihak kelab menyatakan keputusan ini dilakukan atas persetujuan bersama, sambil merakamkan penghargaan kepada legenda kelab itu atas sumbangannya.

Sebagai langkah segera, Real Madrid melantik Alvaro Arbeloa sebagai pengganti. Bekas pertahanan kanan Sepanyol itu sebelum ini membimbing Real Madrid Castilla dan dianggap memahami identiti serta budaya kelab.

Arbeloa mempunyai hubungan rapat dengan akademi dan pemain muda, sekali gus dilihat sebagai pilihan yang mampu membawa kestabilan segera.

Tumpuan kini terarah kepada bagaimana Arbeloa menguruskan bilik persalinan yang dibarisi bintang besar serta bagaimana beliau menyusun semula taktikal pasukan dalam perebutan kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara.