Asphalt kota atau kabus denai? Dilema 17 Julai yang bakal menguji “iman” pelari Malaysia!

28

Bagi komuniti pelari di Malaysia, tarikh 17 hingga 19 Julai 2026 bukan lagi sekadar tarikh biasa dalam kalendar. Ia adalah hujung minggu yang penuh dengan debaran, peluh, dan satu persoalan besar yang bermain di minda: “Aku nak lari di mana satu?”

Dua acara gergasi acara larian tanah air, Score Marathon dan Cameron Ultra (CULTRA), secara rasminya bakal berlangsung pada tarikh yang sama. 


Situasi ini telah mencetuskan “perang dingin” yang sihat di media sosial, memandangkan kedua-dua acara ini mempunyai reputasi ‘legendary’ dan peminat tegar tersendiri.

Score Marathon: Misi Membina Lautan 50,000 Pelari

Jika anda peminat kelajuan, Score Marathon adalah “kiblat” anda. Tahun ini, penganjur bukan sekadar mahu menganjurkan larian biasa, tetapi mereka sedang dalam misi besar untuk memecah rekod dengan sasaran 50,000 penyertaan!

Bayangkan suasana festival yang cukup bertenaga apabila puluhan ribu pelari membanjiri jalan raya secara serentak. 

Berdasarkan kemas kini terbaru di laman Facebook rasmi mereka, bahang Score Marathon sudah pun terasa apabila 85% daripada slot pendaftaran sudah pun licin disambar! 

Dengan rekaan jersi yang sentiasa trendy dan pingat yang gah, Score Marathon kekal sebagai acara wajib bagi mereka yang mahu memburu Personal Best (PB) dalam suasana urban yang meriah.

CULTRA: Cabaran Mental di Puncak Kedinginan

Namun, bagi segelintir pelari yang mula bosan dengan asphalt dan dambakan udara segar (serta sakit betis yang luar biasa), Cameron Ultra (CULTRA) adalah satu godaan yang sukar ditolak. 

Berbeza dengan Score, CULTRA menawarkan pengalaman larian denai (trail running) melalui kebun teh yang menghijau, hutan lumut yang misteri, dan pendakian altitud tinggi yang menguji jiwa.

Walaupun CULTRA hanya akan membuka pendaftaran dalam masa 8 hari lagi, aura “rebutan slot” sudah mula dirasai. 

Jika Score Marathon bersifat terbuka luas untuk ribuan orang, CULTRA pula terkenal dengan slot yang sangat terhad dan eksklusif. 

Di sini, kepantasan jari anda menekan butang register adalah kunci utama. Bagi pelari denai, berjaya mendaftar CULTRA itu sendiri sudah dianggap satu kemenangan besar sebelum larian bermula!

Mana Satu Pilihan Hati?

Persoalannya, yang mana satu lebih berbaloi untuk kalendar larian anda tahun ini?

Di satu pihak, anda ada Score Marathon (17-18 Julai) yang menjanjikan kemeriahan luar biasa dan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah 50,000 pelari. Di satu pihak lagi, anda ada CULTRA (17-19 Julai) yang menawarkan kedinginan 18°C sambil mendaki cerun teknikal di tengah ladang teh Cameron Highlands.

Dilema ini benar-benar membelah bahagi komuniti. Ada yang sanggup melepaskan peluang memecah rekod di Kuala Lumpur demi menghirup udara pergunungan, manakala ada yang lebih selesa mengejar masa terbaik di atas jalan raya yang rata. 

Secara logiknya, anda perlu memilih satu demi faktor logistik, stamina, dan keselamatan diri!

Jadi, Apa Keputusan Anda?

Adakah anda akan segera menyambar baki 15% slot yang tinggal di Score Marathon sekarang, atau anda memilih untuk “standby” di depan laptop dalam masa 8 hari lagi demi slot CULTRA?

Apa pun pilihan anda, pastikan anda ikuti perkembangan lanjut di Facebook Score Marathon dan Cameron Ultra agar tidak ketinggalan maklumat penting.

Yang pasti, 17 Julai ini bakal menjadi saksi ribuan rakyat Malaysia bergerak aktif. Adakah anda akan berada di garisan mula di kota, atau di puncak gunung? Pilih dengan bijak, dan selamat berlatih!