Enzo Fernandez ke Real Madrid? Chelsea sedia lepas bintang Argentina pada 2026

66

Gergasi Sepanyol, Real Madrid, dilaporkan sedang memantau rapi situasi bintang tengah Chelsea, Enzo Fernandez, selepas menerima petanda bahawa kelab London tersebut bersedia untuk menjualnya pada tahun 2026. 

Dipetik dari Teamtalk, langkah ini dilihat sebagai usaha Los Blancos untuk memperkuatkan jentera tengah mereka selepas terlepas peluang menandatangani Martin Zubimendi yang menyertai Arsenal pada 2025.


Enzo, yang merupakan watak penting dalam kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024, kini menjadi antara sasaran utama Madrid. 

Walaupun dianggap sebagai pemain tengah yang lengkap dan tonggak utama di Stamford Bridge, sumber mendedahkan bahawa Chelsea tidak lagi meletakkan status ‘tidak boleh dijual’ kepada pemain berusia 25 tahun itu.

Bagaimanapun, perpindahan ini dijangka melibatkan nilai yang sangat besar memandangkan Chelsea membelinya dengan harga £106.8 juta dari Benfica pada 2023. 

Jika persetujuan dicapai, ia bakal menjadi antara rekod perpindahan paling signifikan dalam sejarah La Liga. 

Fernandez sendiri dikatakan terbuka untuk menyertai juara Eropah tersebut bagi meneruskan karier gemilangnya.