Arsenal sasar Federico Dimarco, strategi kukuhkan dominasi Premier League
Arsenal kini dilaporkan sedang mengintai peluang untuk menandatangani bintang Inter Milan, Federico Dimarco, bagi memperkasakan lagi skuad bimbingan Mikel Arteta.
Dipetik dari Teamtalk, minat ini muncul selepas pesaing utama mereka, Manchester United, menarik diri daripada pemburuan tersebut susulan pemecatan Ruben Amorim.
Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan pelaburan besar Arsenal yang sebelum ini telah membelanjakan £257 juta bagi mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga.
Prestasi luar biasa Dimarco musim ini dengan catatan empat gol dan tujuh bantuan gol dalam 19 penampilan Serie A telah menarik perhatian Pengarah Sukan, Andrea Berta.
Pemain antarabangsa Itali berusia 28 tahun itu dinilai sekitar €50 juta (£43 juta) dan kehadirannya dijangka bakal memberikan persaingan sengit buat Riccardo Calafiori di posisi pertahanan kiri.
Selain itu, kemasukan Dimarco juga akan memberikan fleksibiliti taktikal buat Arteta untuk menolak pemain muda, Myles Lewis-Skelly, beraksi lebih kerap di bahagian tengah.
Dengan kontrak yang bakal tamat pada 2027, Arsenal kini berada di barisan hadapan untuk membawa ‘permata’ Inter Milan ini ke Stadium Emirates.