Seluruh Exco FAM letak jawatan serta merta

429

Dunia bola sepak tanah air dikejutkan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini membuat keputusan drastik apabila kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara ini diambil sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi terkini yang sedang menyelubungi badan induk tersebut. 


Meskipun baru 11 bulan diberikan mandat oleh perwakilan, barisan Exco memilih untuk melepaskan jawatan demi melindungi integriti dan reputasi organisasi daripada risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan kestabilan bola sepak negara.

Langkah ini dilihat sebagai usaha murni untuk menegakkan akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, terutama dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara. 

Dengan peletakan jawatan ini, FAM kini menyediakan ruang seluas-luasnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian serta penelitian bebas terhadap hal ehwal pentadbiran persatuan tersebut tanpa sebarang gangguan.

Dalam satu kenyataan bersama, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia jauh lebih utama berbanding kepentingan jawatan peribadi. 

Langkah ini juga bertujuan memulihkan kembali kepercayaan penyokong, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak terhadap kredibiliti institusi keramat ini demi kelestarian masa depan.

Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan, kesemua bekas ahli jawatankuasa tersebut menyatakan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC, dan pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang proses pembaharuan dapat dijalankan dengan lancar. 

Krisis ini dijangka bakal membuka lembaran baharu dalam landskap pentadbiran bola sepak Malaysia ke arah yang lebih telus dan berintegriti.