Keputusan CAS 25 Februari ini: FAM harap penamat kemelut status pemain Harimau Malaya

154

Teka-teki mengenai status penglibatan pemain tertentu bersama pasukan kebangsaan kini memasuki fasa paling kritikal apabila Mahkamah Penimbang Tara Sukan (CAS) dijangka akan mengumumkan keputusan rasmi pada 25 atau 26 Februari ini. 

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.


Meskipun tarikh keputusan sudah mula kelihatan, situasi semasa buat masa ini masih dianggap ‘tergantung’ dan mencetuskan pelbagai spekulasi. 

Ini kerana Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, mendedahkan bahawa maklumat yang diterima daripada FIFA setakat ini masih terlalu umum dan tidak mempunyai butiran terperinci.

“Kita baru terima surat daripada FIFA yang tidak mempunyai banyak butiran. Apa yang kita tahu, pemain-pemain ini dapat beraksi untuk kelab semula… itu yang kita tahu, itu dah pasti,”

ujar Datuk Seri Windsor.

Tambahnya lagi, isu utama yang menjadi perdebatan adalah penglibatan mereka dalam skuad kebangsaan. 

Wujud percanggahan yang nyata apabila FIFA sebelum ini pernah mengeluarkan keputusan berasingan yang melarang pemain-pemain ini daripada beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Sebagaimana yang kita tahu, FIFA sudah pun membuat keputusan yang berasingan berhubung dengan status perlawanan-perlawanan persahabatan, jadi di situlah percanggahannya. Kita masih lagi menunggu maklumat yang lebih detail lagi daripada FIFA.”

Percanggahan inilah yang memaksa FAM untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati. Pihak persatuan kini sedang dalam usaha mendapatkan penjelasan lebih mendalam bagi memastikan sama ada lampu hijau yang diberikan itu turut merangkumi aksi bersama Harimau Malaya atau sekadar terhad kepada tugasan bersama kelab sahaja.

Sementara itu, dengan tarikh 25 atau 26 Februari yang semakin menghampiri, seluruh komuniti bola sepak Malaysia kini berada dalam posisi tunggu dan lihat. 

Keputusan penuh daripada CAS itu nanti bukan sahaja akan menamatkan kekeliruan, malah bakal menentukan hala tuju serta perancangan strategik skuad kebangsaan bagi baki kalendar perlawanan antarabangsa tahun ini.