Cole Palmer daftar trademark perayaan gol ‘ice-cold’

5

Bintang Chelsea, Cole Palmer, mencuri perhatian bukan sahaja di atas padang, malah di luar padang apabila dilaporkan telah mendaftar tanda cap dagangan (trademark) untuk perayaan gol ikoniknya.

Selebrasi ‘ice-cold’ yang menampilkan gaya wajah selamba dan gerakan khas itu kini menjadi identiti utama pemain berusia 23 tahun tersebut.


Sejak menyertai Chelsea, ia kerap dipamerkan setiap kali Palmer menjaringkan gol, sehingga menjadi simbol keyakinan dan ketenangan dirinya di saat tekanan.

Popularitinya yang semakin meningkat dalam kalangan peminat turut menjadikan selebrasi tersebut mudah dikenali di media sosial dan siaran perlawanan.

Pendaftaran cap dagangan ini bertujuan untuk melindungi hak komersial Palmer, terutamanya bagi penggunaan dalam produk seperti pakaian, barangan rasmi, kandungan media dan kerjasama jenama.

Langkah ini memastikan sebarang penggunaan komersial selebrasi tersebut perlu mendapat kebenaran daripadanya.

Tindakan Palmer ini seiring dengan trend pemain bintang moden yang semakin peka terhadap nilai jenama peribadi, bukan sekadar prestasi di atas padang.

Ia juga mencerminkan kematangan Palmer dalam merancang masa depan, ketika namanya semakin kukuh sebagai tonggak utama Chelsea.