Sentuhan magis Yamal & Rashford bawa Barcelona ke separuh akhir Copa del Rey
Juara bertahan, Barcelona, mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Copa del Rey selepas berjaya menewaskan kelab divisyen dua, Albacete.
Dipetik dari BBC, kemenangan ini sekaligus menamatkan perjalanan penuh kejutan pasukan kerdil tersebut yang sebelum ini telah menyingkirkan gergasi Real Madrid.
Bintang remaja, Lamine Yamal, memulakan langkah kanan buat Barca menerusi gol pembukaan pada minit ke-39, yang juga merupakan gol pertamanya dalam kejohanan musim ini.
Memasuki babak kedua, pertahanan kental Ronald Araujo menggandakan kedudukan menerusi tandukan padu hasil sepakan sudut daripada Marcus Rashford.
Walaupun Albacete cuba bangkit menerusi gol Javi Moreno di hujung perlawanan, Barcelona tetap kental bertahan untuk memastikan kemenangan milik mereka.
Tumpuan turut terarah kepada Marcus Rashford yang kini membuktikan ketajamannya di bawah bimbingan Hansi Flick.
Bintang pinjaman Manchester United itu secara rasmi menjadi pemain ketiga di La Liga yang mencapai angka dua digit bagi jumlah gol dan bantuan gol musim ini.
Prestasi konsisten Rashford dan Yamal kini menjadi senjata utama Barcelona dalam memburu kejuaraan berganda musim ini.