Ronaldo ‘ponteng’ sesi latihan, protes terhadap Al-Nassr makin terbuka
Cristiano Ronaldo kembali mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan Al-Nassr, sekali gus menguatkan spekulasi tentang hubungan yang semakin tegang antara beliau dan kelab.
Tindakan hadir selepas beliau tidak mahu diturunkan dalam perlawanan menentang Al-Riyadh Isnin lalu, dilaporkan bukan kerana kecederaan tetapi protes terhadap pengurusan kelab.
Sumber media melaporkan ketidakpuasan hati Ronaldo berpunca daripada hala tuju projek sukan Al-Nassr, khususnya dalam soal perpindahan pemain.
Antara faktor utama yang mencetuskan kemarahannya ialah keputusan membenarkan Karim Benzema menyertai Al-Hilal, pesaing utama liga, sedangkan Al-Nassr gagal membawa masuk bintang setaraf untuk memperkukuh pasukan.
Ronaldo dikatakan kecewa kerana merasakan Al-Nassr tidak diberi sokongan yang sama berbanding kelab lain di bawah naungan Saudi Public Investment Fund (PIF), sekali gus melemahkan peluang pasukannya untuk bersaing merebut kejuaraan.
Situasi ini memburukkan lagi hubungan yang sedia rapuh antara Ronaldo dan pihak pengurusan, dengan tindakan tidak hadir ke sesi latihan dianggap simbol jelas rasa tidak puas hatinya.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi terperinci daripada kelab, perkembangan ini terus mencetuskan persoalan besar mengenai masa depan Ronaldo di Al-Nassr — sama ada krisis ini boleh diperbaiki, atau bakal berakhir dengan perpisahan.