Tiada individu lebih besar daripada liga: Ronaldo berdepan amaran keras Liga Pro Saudi

207

Masa depan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr kini berada di persimpangan jalan selepas Liga Pro Saudi mengeluarkan amaran tegas bahawa tiada individu, tidak kira betapa besar pengaruhnya, boleh mengatasi keputusan pihak berkuasa bola sepak negara itu. 

Dipetik dari BBC, ketegangan ini memuncak selepas bintang Portugal berusia 41 tahun itu dilaporkan enggan beraksi dalam perlawanan menentang Al-Riyadh baru-baru ini.


Menurut laporan media, punca utama kekecewaan Ronaldo berakar umbi daripada rasa tidak puas hati terhadap pengurusan kelab oleh Dana Pelaburan Awam (PIF). 

Namun, faktor pencetus yang lebih mengejutkan adalah perpindahan bekas rakan sepasukannya, Karim Benzema, ke kelab pesaing, Al-Hilal. 

Kehadiran Benzema yang terus meledak hatrik dalam penampilan sulungnya dikatakan mengguris ego Ronaldo, memandangkan Al-Hilal merupakan musuh tradisi yang paling berjaya di Arab Saudi.

Walaupun Ronaldo telah memuat naik gambar kembali menjalani latihan sebagai isyarat perdamaian, pengurusan liga tetap berpegang teguh pada prinsip disiplin. 

Keengganan beliau untuk tunduk kepada birokrasi PIF yang juga mengawal Al-Nassr dan Al-Hilal mencetuskan spekulasi bahawa era dominasi ‘CR7’ di bumi Arab mungkin berakhir lebih awal daripada jangkaan. 

Kini, tumpuan peminat terarah kepada sama ada beliau akan diturunkan dalam aksi genting menentang Al-Ittihad Jumaat ini.