Dominasi DRM Racing Team: Andrea Galimberti takluk kategori senior IAME Asia Pasifik 2026

20

Pelumba berbakat dari Itali, Andrea Galimberti, melakar sejarah di Litar Karting Antarabangsa LYL apabila merangkul gelaran juara kategori Senior dalam Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026. 

Mewakili DRM Racing Team, Galimberti mempamerkan kualiti taktikal yang luar biasa untuk menumpaskan pencabar terdekat dalam perlumbaan final yang penuh dramatik.


Kemenangan ini bukan sekadar menambah koleksi trofi, malah memberikan Galimberti tiket automatik ke Kejuaraan Dunia IAME Final (IWF) yang akan berlangsung di Litar Leopard, Viterbo, Itali pada Oktober depan.

Meskipun tidak mencatatkan kemenangan dalam perlumbaan saringan dan superheat, Galimberti kekal tenang dengan bergantung kepada kelajuan jentera yang konsisten. 

Strategi utamanya adalah memastikan tayar tidak terlalu panas bagi membolehkan beliau melakukan pecutan maut pada pusingan akhir.

“Strategi saya hanyalah memastikan tayar sentiasa bersih. Dengan cara itu, pada beberapa pusingan terakhir, saya mampu mengejar pendahulu dan seterusnya memenangi perlumbaan,” ulas Galimberti mengenai rahsia kejayaannya.

Dalam pada itu, nasib malang menimpa pelumba muda negara, Zarif Raykal, yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua. 

Walaupun memulakan perlumbaan dengan rentak yang sangat kompetitif, masalah cengkaman jentera (rear grip) pada tiga pusingan terakhir menghalang usahanya untuk menyekat kemaraan Galimberti. 

Kekalahan tipis ini menyaksikan Zarif terlepas peluang keemasan untuk meraih tiket automatik ke kejuaraan dunia.

Sementara itu, promoter perlumbaan, Daniel Ling, menegaskan bahawa kualiti penganjuran IAME Asia Pasifik kini setaraf dengan kejohanan di Eropah. 

Dengan penyertaan 106 pelumba dari 15 buah negara, acara ini membuktikan bahawa Asia kini menjadi destinasi utama pemandu berbakat tanpa perlu berbelanja besar ke luar negara.

Penganjuran yang mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia ini turut menyaksikan penguasaan pelumba dari rantau Asia Tenggara dalam kategori lain, termasuk kemenangan Syabil Umar Basalamah (Indonesia) dalam kategori Kadet dan Satumno Peerapongpan (Thailand) bagi kategori Junior.