Thomas Frank kekal tenang walaupun Spurs terus dirundung malang

20

Thomas Frank menegaskan kedudukannya di Tottenham Hotspur masih selamat biarpun kelab itu kini mengharungi kemerosotan prestasi yang membimbangkan. 

Dipetik dari BBC, kekalahan 2-1 kepada Newcastle di laman sendiri pada malam Selasa lalu melebarkan rekod tanpa kemenangan Spurs kepada lapan perlawanan berturut-turut dalam Premier League.


Kekalahan ke-11 musim ini meletakkan Spurs kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran, satu situasi cemas bagi kelab yang tidak pernah tersingkir dari liga utama. 

Namun, Frank mendedahkan beliau telah menerima jaminan daripada pemilik kelab bahawa jawatannya tidak terancam.

“Saya memahami kekecewaan penyokong, dan memang mudah untuk menuding jari kepada saya,” ujar Frank. 

Beliau mengakui tuntutan beraksi dalam saingan Eropah dan liga domestik telah menguji ketahanan pasukan. 

Frank berjanji untuk bekerja keras siang dan malam demi memulihkan maruah The Lilywhites, sambil menekankan bahawa kebangkitan pasukan memerlukan kesatuan daripada semua pihak, bukan hanya tanggungjawab seorang individu. 

Segala tumpuan kini terarah kepada kemampuan Frank untuk segera mengubah nasib pasukan.