Sesko muncul penyelamat, rekod tanpa kalah Carrick terus bertahan
Benjamin Sesko muncul wira Manchester United apabila jaringan minit akhirnya berjaya menyelamatkan maruah pasukan daripada dimalukan West Ham United.
Dipetik dari BBC, gol pada minit ke-96 itu memastikan rekod tanpa kalah Michael Carrick sebagai ketua jurulatih interim kekal bertahan, walaupun siri kemenangan empat perlawanan berturut-turutnya kini terhenti.
Beraksi dalam cuaca hujan di timur London, United tampil hambar pada separuh masa pertama.
West Ham terlebih dahulu menghukum kelekaan benteng pertahanan pelawat menerusi jaringan Tomas Soucek pada awal babak kedua.
United cuba bangkit, namun gol tandukan Casemiro dibatalkan kerana ofsaid, manakala serangan yang direncanakan sering buntu.
Carrick kemudian memasukkan Sesko sebagai senjata sulit untuk mencari jalan penyelesaian.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila penyerang muda itu melepaskan rembatan tajam pada saat-saat akhir perlawanan.
Keputusan seri 1-1 ini amat bermakna buat Carrick yang masih berusaha membuktikan kemampuannya, sementara buat West Ham, ia adalah satu mata yang terlepas dalam misi getir mereka mengelak zon penyingkiran.