Misi ‘mustahil’ di Korat: Malayan Tigress sedia gempur gergasi ASEAN
Di sebalik persiapan singkat selama 10 hari, skuad futsal wanita kebangsaan, Malayan Tigress, tetap bersemangat tinggi menjelang Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 di Korat, Thailand.
Ketua jurulatih, Jamhuri Zainuddin, menegaskan bahawa fokus utama beliau adalah memperkukuh kekuatan mental pemain bagi menghadapi gergasi rantau ini.
Walaupun mengakui pihak lawan mempunyai persediaan yang lebih rapi, Jamhuri optimis dengan kemampuan anak buahnya.
“Dalam masa 10 hari ini, saya fokus pada kesihatan dan kekuatan mental. Dalam permainan, kami cuba menjawab serangan dan pertahanan Thailand serta Indonesia,”
katanya.
Dalam pada itu, Jamhuri berkata pemilihan pemain kali ini menyaksikan gabungan strategik antara enam tonggak skuad Sukan SEA, pemain bola sepak padang, serta tiga bakat baharu yang berpotensi besar.
Jamhuri sedar akan cabaran getir yang menanti, namun beliau meletakkan sasaran yang cukup jelas untuk melepasi peringkat kumpulan.
“Sejujurnya, kita mesti menang permainan pertama dengan Indonesia, kemudian masuk ke semifinal.”
Sementara itu, dengan aksi pembukaan pada 25 Februari ini, Malayan Tigress tekad membuktikan bahawa semangat juang yang tinggi mampu mengatasi kekangan waktu demi mengharumkan nama negara di pentas Asia Tenggara.