Ulang tahun ke-5 lebih gah: TDG 2026 kini bertaraf ‘Asia Trail Master’, bakal sajikan laluan ikonik Flyover Jalan Rawang!

35

Tatkala komuniti larian denai (trail running) tempatan masih hangat memperkatakan tentang fenomena jualan slot Cameron Ultra (CULTRA) dan The Magnificent Baling 100 (TMB 100) yang habis terjual dalam tempoh beberapa jam, jangan sampai anda terlepas pandang satu lagi “permata” yang bakal menggegarkan kalendar 2026.

Trail des Gombak (TDG) kembali untuk edisi 2026 dengan sambutan ulang tahun ke-5 yang dijanjikan jauh lebih gah, lebih mencabar, dan penuh prestij.


Evolusi TDG: Dari Denai Tempatan Ke Pentas Asia

Tahun 2026 menandakan satu lembaran baharu buat TDG. Bukan sekadar meraikan lima tahun penganjuran, TDG26 secara rasmi kini tersenarai sebagai Season 11 Asia Trail Master (ATM) Championship Race & Grandmaster Quest. 

Pengiktirafan ini meletakkan TDG sebaris dengan acara elit di Asia Tenggara, sekali gus menarik perhatian pelari antarabangsa untuk memburu mata kejuaraan di bumi Gombak.

Bukan itu sahaja, TDG26 juga mengekalkan status eksklusifnya sebagai Acara Kelayakan Western States Endurance Run (WSER) 2026. 

Untuk rekod, TDG adalah satu daripada hanya lima acara di Malaysia yang diberi penghormatan ini. 

Selain itu, pelari juga boleh menjangkakan kutipan Mata ITRA (International Trail Running Association) dan kemas kini UTMB Index yang sangat penting bagi mereka yang ingin melayakkan diri ke perlumbaan peringkat dunia di Eropah.

Stadium Selayang Jadi Saksi: ‘Race Village’ Lebih Selesa

Berbeza dengan edisi sebelum ini, buat pertama kalinya TDG akan berpusat di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Perpindahan ke lokasi ikonik ini menawarkan kemudahan yang lebih dinamik daripada parkir yang luas, kemudahan tandas dan ruang rehat yang selesa, sehinggalah ke suasana garisan penamat yang lebih bertenaga buat pelari, kru, dan penyokong.

Laluan Baharu: Rahsia Di Sebalik Flyover Jalan Rawang

TDG26 bakal memperkenalkan laluan yang segar dan lebih mendalam (immersive). Menariknya, tumpuan pastinya terarah kepada Flyover Jalan Rawang yang ikonik. 

Ia bukan sekadar jalan raya, tetapi penghubung fizikal antara dua “taman permainan” terbaik di Lembah Klang: Taman Eko Rimba Komanwel yang teknikal dan rolling, serta Taman Eko Rimba Kanching yang terkenal dengan pendakian curam yang lagenda.

Dua hutan, satu penghubung. Pelari bakal merasai kepelbagaian bentuk muka bumi yang menguji mental dan fizikal dalam satu laluan yang mengalir merentas sempadan hutan simpan tersebut.

Kategori Yang Mencabar Limitasi

Berlangsung pada 19 hingga 21 Jun 2026, berikut adalah kategori yang ditawarkan:

  • Gombak100 (100km): Ujian mutlak dengan 6,000m Elevation Gain (EG) dan COT 33 jam.
  • Kanching50 (53km): Cabaran teknikal 3,200m EG dengan COT 16 jam.
  • Lagong30 (30km): Laluan pantas dan mencabar dengan 1,400m EG dengan COT 9 jam.
  • Nolang15 (14km): Sesuai buat mereka yang ingin merasai keindahan denai Gombak.

Trail des Gombak 2026 bukan sekadar perlumbaan; ia adalah simbol kematangan komuniti denai Malaysia. 

Dengan kemudahan logistik yang lebih baik di Selayang dan pengiktirafan antarabangsa, TDG26 kini merupakan acara wajib dalam “bucket list” setiap pelari denai.

Jangan tunggu sehingga jualan slot menjadi fenomena seperti acara lain! Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari Checkpoint Spot – Trail des Gombak 2026.