Strategi ‘matikan’ Dirga menjadi, Fauzi Pilus julang Klang City Sailors FC juara SCL!
Klang City Sailors FC sah dinobatkan sebagai raja baharu Selangor Champions League (SCL) selepas melakar kemenangan bergaya 2-0 ke atas juara bertahan, Cyberjaya Teleflow FC dalam aksi final yang penuh dramatik.
Kejayaan ini menamatkan dominasi Teleflow, sekali gus membuktikan percaturan taktikal ketua jurulatih, Fauzi Pilus, berada di kelas tersendiri.
Mengulas mengenai kunci kemenangan malam tersebut, Fauzi Pilus tidak menyembunyikan rasa bangga terhadap disiplin tinggi yang dipamerkan oleh anak buahnya, terutama dalam menyekat jeneral padang lawan.
“Perancangan utama kami adalah untuk tidak memberi ruang langsung kepada Dirga (Surdi). Tugasan itu dijalankan dengan begitu kemas oleh semua pemain melalui pressing yang cukup baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fauzi turut berkata kejayaan ini juga menyaksikan impak luar biasa daripada pemain berpengalaman, Hakim Hassan, yang disifatkannya telah memberikan persembahan di tahap prestij maksimum.
Tambahnya lagi, kehadiran pemain berkualiti Liga Super dalam skuad ini nyata memudahkan tugas barisan kejurulatihan untuk menterjemah strategi dari sesi latihan ke dalam padang.
“Memang sangat membantu saya dan Razman (Roslan). Kehadiran pemain berkualiti ini memberi impak besar kepada SCL, malah mereka menyajikan perlawanan yang sangat bermutu untuk tontonan peminat.
Hakim Hassan bermain cemerlang malam ini, malah dia banyak menyokong Zul (Zulkhairi Zulkeply) untuk mendapatkan jaringan dan akhirnya menjadi pemain terbaik.”
Dalam pada itu, selain memuji barisan pemain seperti Faizal, Izzuddin, dan bahagian pertahanan yang kental, Fauzi turut memberikan kredit khas kepada pemilik kelab, Mr. Alex, atas komitmen padu dalam menyediakan segala kemudahan buat pasukan.
Kemenangan ini dianggap sebagai satu lonjakan besar buat Klang City Sailors untuk terus melangkah lebih jauh dalam kancah bola sepak tempatan.
“Seterusnya, kami serahkan kepada pemilik kelab untuk perancangan masa depan. Kami akan beri input untuk terus memperkemaskan pasukan dan mudah-mudahan ini menjadi permulaan yang terbaik buat kami.”