Kembali ke Liga Super atau kekal di SCL? Nor Hakim Hassan masih terbuka soal masa depan

206

Nor Hakim Hassan membuktikan bahawa kualitinya masih belum pudar apabila berjaya membantu Klang City Sailors FC menjulang trofi Selangor Champions League (SCL) selepas menewaskan Cyberjaya Teleflow FC 2-0. 

Namun, disebalik keriangan meraikan kejuaraan, tumpuan kini terarah kepada langkah seterusnya buat pemain lincah ini.


Meskipun memiliki profil tinggi di peringkat kebangsaan, Hakim mengakui saingan SCL memberikan cabaran unik yang menuntut kekuatan mental dan fizikal.

“Ini kali pertama saya beraksi di SCL. Bagi saya memang sangat ‘tough’ daripada awal sehinggalah kami bergelar juara. Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, tetapi alhamdulillah rezeki memihak kepada kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Hakim berkata persiapan rapi selama dua minggu selepas aksi separuh akhir ternyata membuahkan hasil apabila beliau menjadi antara watak penting yang menggerakkan jentera serangan Klang City Sailors. 

Malah, ketua jurulatih, Fauzi Pilus turut melabelkan beliau sebagai tulang belakang pasukan yang menggunakan pengalaman luasnya untuk membimbing pemain lain.

Hakim bagaimanapun tetap merendah diri dan memberi kredit kepada rakan sepasukan yang memberikan komitmen 100 peratus.

“Saya hanya guna pengalaman yang ada untuk bantu mereka. Terima kasih kepada pihak pengurusan dan jurulatih kerana beri peluang untuk saya bermain dan menyumbang kepada pasukan.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hala tujunya selepas ini, Hakim mendedahkan beliau tidak menolak sebarang kemungkinan. 

“Jika ada tawaran, saya akan teruskan, sama ada untuk ke Liga Super atau Liga A1. Namun dalam masa yang sama, kalau di sini (SCL) masih perlukan saya, saya akan pertimbangkan. Saya masih terbuka.”

Kehadiran pemain seperti Hakim Hassan bukan sahaja meningkatkan prestij SCL, malah membuktikan bahawa kancah amatur kini menjadi platform yang mampan untuk pemain berkualiti meneruskan karier bola sepak mereka.