Kim Pan-gon mahu Stadium MBPJ digeruni pasukan lawan

217

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, memuji kekuatan mental dan kesungguhan luar biasa anak buahnya selepas berjaya mencatatkan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ malam tadi. 

Kemenangan tersebut dianggap cukup penting bagi memastikan Gergasi Merah terus kekal mencabar kedudukan dua teratas liga, sekali gus menghidupkan impian besar untuk kembali beraksi di pentas tertinggi Asia. 


Pan-gon mengakui skuadnya sedikit bergelut pada awalnya, namun karakter sebenar muncul selepas waktu rehat.

“Pemain kami mempunyai kesungguhan yang sangat baik pada separuh masa kedua. Malah sehingga minit terakhir, kami tetap mencipta peluang dan bertekad untuk menjaringkan gol. Saya sangat menghargai kekuatan mental mereka, lebih-lebih lagi dalam tempoh Ramadan ini,”

katanya.

Misi memburu slot ke AFC Champions League Two (ACL2) menjadi pemacu utama motivasi pasukan ketika ini, di mana Pan Gon menegaskan bahawa keinginan untuk bersaing di peringkat antarabangsa bukan sekadar impian peribadinya, malah perlu menjadi darah daging buat setiap pemain yang menyarung jersi merah kuning. 

Beliau pada masa sama mahu setiap individu dalam pasukan mempunyai ‘lapar’ yang sama untuk membawa jenama Selangor ke tahap yang lebih tinggi. 

Dalam pada itu, Pan Gon turut berkongsi visinya untuk menjadikan Stadium MBPJ sebagai sebuah ‘fortress’ atau kubu yang tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pasukan lawan.

“Kami memanggilnya ‘kubu’ di tempat sendiri. Jadi tiada sesiapa boleh datang ke tempat kami dan berjaya. Jika mereka masuk ke tempat kami, kami mahu ‘menghabiskan’ (kill them) mereka. Itulah budaya yang kami mahu cipta.” 

Tegasnya, beliau mahu setiap lawan berasa gerun apabila bertandang ke stadium keramat mereka itu.

Sementara itu, pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga tampil tegas mempertahankan barisan pemainnya yang sering menjadi sasaran kritikan segelintir pihak.

Oleh itu, beliau menyeru agar penyokong sejati Selangor sentiasa melindungi pemain mereka sendiri berbanding melontarkan kecaman yang tidak membina kerana semangat kekeluargaan adalah tunjang kekuatan pasukan.