Sentuhan magis Kim Pan-gon ubah Selangor, Chrigor akui semua pemain kini lebih ‘happy’ & yakin

302

Wira kemenangan Selangor FC, Chrigor Moraes, mendedahkan bahawa kehadiran ketua jurulatih, Kim Pan-gon, telah membawa perubahan drastik terhadap mentaliti dan suasana di dalam kem Gergasi Merah. 

Chrigor yang menjaringkan gol tunggal perlawanan pada saat akhir menentang Kuching City FC semalam, menyifatkan Selangor kini berada pada landasan terbaik selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan berturut-turut di bawah bimbingan pengendali tersebut.


Menurutnya, perbezaan paling ketara yang dibawa oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu adalah keberanian untuk melakukan rotasi dan memberi kepercayaan kepada semua pemain tanpa pilih kasih. 

“Kami mengubah, saya rasa, segalanya. Sejak beliau datang, setiap perlawanan kami berubah. Beliau memberikan keyakinan kepada sesiapa sahaja yang bermain walaupun pada minit terakhir. Ini sangat bagus dan penting kerana sekarang semua orang gembira,” 

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengulas mengenai perlawanan sukar menentang Kuching City, Chrigor mengakui kekuatan fizikal pertahanan lawan yang tinggi dan kental hampir mengecewakan Selangor. 

Namun, semangat juang yang disuntik oleh penyokong di Stadium MBPJ menjadi pencetus tenaga untuk pasukan terus menyerang sehingga ke minit terakhir. 

“Hari ini, kami mempunyai tenaga untuk berjuang sehingga ke penghujung adalah kerana peminat. Jika mereka datang, ia lebih baik buat kami kerana kami perlukan sokongan itu.”

Kemenangan ini juga menjadi suntikan moral terbesar sebelum kedua-dua pasukan kembali bertemu dalam aksi Separuh Akhir Piala Malaysia bulan depan. 

Sementara itu, walaupun gembira dengan tiga mata dalam Liga Super, Chrigor tetap waspada dan menegaskan bahawa mereka perlu terus meningkatkan prestasi.

“Sangat sukar bermain menentang mereka. Mereka mempunyai tiga pertahanan tengah yang sentiasa kental dan tinggi. Tetapi jika kami gunakan ‘senjata’ kami, kami boleh lakukan apa sahaja dan menang menentang sesiapa pun.”