Benjamin Sesko: ‘Super-sub’ berbisa pacu kebangkitan Manchester United

210

Michael Carrick memuji perkembangan luar biasa Benjamin Sesko selepas penyerang itu memainkan peranan penting dalam meletakkan Manchester United di landasan tepat untuk kembali ke Champions League (UCL). 

Dipetik dari BBC, pemain antarabangsa Slovenia itu kini menjadi senjata sulit United dengan meledak enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir, termasuk jaringan kemenangan dramatik ketika menentang Everton dan West Ham.


Terbaharu, Sesko memukau ramai menerusi gol solo sejauh 70 ela di Stadium Hill Dickinson yang membuktikan kehebatan fizikalnya. 

Dalam pada itu, Jamie Carragher turut menyifatkan larian bertenaga dan ketenangan Sesko sebagai sesuatu yang luar biasa bagi pemain yang masuk dari bangku simpanan. 

Walaupun ditandatangani oleh Ruben Amorim dengan nilai £73.7 juta pada Ogos 2025, Sesko hanya mula menemui sentuhan berbisa selepas Carrick mengambil alih kemudi.

Meskipun timbul perdebatan mengenai ketiadaannya dalam kesebelasan utama, Carrick menegaskan hubungan baiknya dengan Sesko tetap kukuh. 

Sesko, status “super-sub” bukanlah penghalang untuk beliau menyumbang kepada pasukan. “Sama ada lima atau 90 minit, ia tidak penting. Apa yang utama ialah saya mampu memberikan hasil buat pasukan,” katanya. Dengan lapan gol setakat ini, Sesko kini menjadi figura penting dalam misi United mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas liga.