Annil Vigneswaran sasar main di Bundesliga lagi tiga tahun

1,050

Pemain muda negara yang berpengkalan di Jerman, Annil Vigneswaran meletak sasaran untuk dirinya dapat bermain di liga utama Jerman iaitu Bundesliga dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Anil yang baru sahaja menyertai kelab divisyen kedua liga negara itu iaitu SV Sandhausen berkata beliau akan terus berusaha untuk memastikan dirinya sentiasa konsisten dan berada pada prestasi terbaik.


“Apa yang saya boleh cakap adalah skuad senior (SV Sandhausen) level mereka sangat tinggi, tetapi saya banyak belajar daripada mereka. Bagaimanapun apabila beraksi di padang saya perlu bersaing dengan mereka jika mahu mendapat tempat.

Dengan usia saya yang masih muda ketika ini bersaing dengan pemain senior, saya menyasarkan dalam tempoh dua ke tiga tahun lagi saya mampu bermain di liga utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun didakwa ‘membeli’ jalan untuk bermain di Eropah, namun pemain skuad B-23 negara ini tidak ambil pusing dengan kritikan netizen sebaliknya berkata beliau memulakan karier sebagai bola sepak dari bawah iaitu dari divisyen lima sebelum naik ke divisyen dua.

Pemain yang bermain di posisi pertahanan ini turut mendedahkan bahawa beliau juga menghubungi bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim untuk meminta pandangan kelab mana yang sesuai untuknya memandangkan beliau mendapat beberapa tawaran lain.

Tambah pemain berusia 18 tahun itu lagi, beliau terpaksa banyak berkorban dengan mengejar impiannya untuk menjadi seorang pemain profesional termasuk berjauhan dengan keluarga.

Dalam pada itu, Annil juga sedang berusaha keras untuk membuktikan dirinya seorang pemain berkualiti bagi memikat ketua jurulatih B-23, Brad Maloney untuk memanggilnya menyertai kem latihan Harimau Malaya.

Skuad B-23 negara pada tahun ini mempunyai tiga lagi kejohanan besar iaitu Sukan Sea di Vietnam (Mei), Piala Asia di Uzbekistan (Jun) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (September).

“Saya akan berusaha untuk terus kekal konsisten dan buktikan diri saya dengan harapan dapat panggilan daripada Brad Maloney untuk skuad B-23 negara.”

Sementara itu, ditanya samada beliau akan pulang ke Malaysia sekiranya mendapat tawaran daripada pasukan di Liga Malaysia, Annil berkata ia bergantung kepada prestasi semasanya ketika itu.

“Sekiranya saya kurang minit permainan di sini sudah pasti saya akan pertimbang untuk pulang ke Malaysia, tetapi saya masih kekal di divisyen dua sudah pasti saya akan terus bekerja keras untuk naik ke liga utama.”