Saspens berterusan! CAS tangguh keputusan kes 7 pemain warisan Malaysia
Teka-teki mengenai status tujuh pemain naturalisasi Malaysia masih belum terjawab apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan penangguhan keputusan rayuan melibatkan kumpulan pemain tersebut.
Dipetik dari ASEAN Football, penangguhan ini sekali gus menamatkan spekulasi awal yang menjangkakan keputusan badan kehakiman sukan tertinggi dunia itu akan diumumkan pada awal pagi 27 Februari.
Menurut kenyataan rasmi daripada CAS, panel hakim memerlukan masa tambahan untuk meneliti setiap hujah dan bukti yang dikemukakan oleh semua pihak yang terlibat.
Memandangkan kes ini melibatkan implikasi besar terhadap karier pemain dan landskap bola sepak negara, penelitian rapi adalah amat kritikal.
Bagi meredakan keresahan peminat dan pihak berkepentingan, CAS memaklumkan bahawa satu keputusan awal (preliminary decision) tanpa alasan terperinci dijadualkan akan dikeluarkan pada minggu hadapan.
Kenyataan media rasmi akan diterbitkan sebaik sahaja keputusan itu dicapai, manakala dokumen penghakiman penuh (written award) yang mengandungi alasan teknikal hanya akan diserahkan kepada pihak-pihak terlibat pada peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, kes ini menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tanah air kerana ia bakal menentukan sama ada tujuh pemain tersebut layak mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa akan datang atau sebaliknya.
CAS juga menyatakan bahawa butiran penuh penghakiman mungkin akan didedahkan kepada umum, tertakluk kepada tiada sebarang permohonan kerahsiaan difailkan oleh pihak yang terlibat.
Buat masa ini, semua pihak hanya mampu menanti dengan penuh debaran sehingga minggu hadapan untuk mengetahui nasib kesemua pemain warisan Harimau Malaya.