Pintu kembali ke Liga Malaysia sentiasa terbuka buat Danilo Sipovac
Walaupun hanya berkelana selama enam bulan di utara tanah air, bekas pemain sayap import Penang FC, Danilo Sipovac, mengakui bahawa Malaysia telah meninggalkan kesan mendalam dalam kerjaya bola sepaknya.
Sipovac berkongsi pengalaman manisnya menyarung jersi Harimau Kumbang dan menyatakan kesediaan untuk kembali jika peluang muncul lagi.
Menurutnya, beliau tiba di Malaysia dengan penuh keterujaan dan kagum dengan tahap profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak kelab.
“Sangat positif. Saya disambut dengan sangat baik sejak hari pertama, dan itu banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan cepat dalam persekitaran baharu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bercakap mengenai corak permainan, Sipovac mengakui terdapat perbezaan ketara antara bola sepak Asia Tenggara dan Eropah yang mana baginya, Liga Super mempunyai daya tarikan yang tersendiri kerana sifatnya yang lebih terbuka dan dinamik.
“Di Eropah, permainan lebih bersifat taktikal. Namun di Malaysia, gayanya lebih terbuka dan pantas, sekali gus mencipta banyak situasi serangan yang membolehkan pemain sayap seperti saya menggunakan kepantasan sepenuhnya.”
Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan cabaran fizikal yang perlu ditempuh, terutamanya apabila berhadapan dengan pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau melabelkan bintang JDT, Jonathan Silva, sebagai lawan paling sengit yang pernah dihadapinya kerana kekuatan fizikal dan intensiti larian yang tinggi.
Dalam pada itu, Sipovac berkata apa yang paling menyentuh hatinya bukanlah sekadar aksi di atas padang, tetapi semangat luar biasa para peminat.
Beliau mengakui sangat gembira apabila setiap usaha dan sumbangannya dihargai dengan tepukan gemuruh di stadium.
“Terima kasih atas sokongan dan rasa hormat yang diberikan. Saya benar-benar seronok bermain untuk Penang kerana saya berasa seperti pemain kegemaran peminat.”
Sementara itu, ditanya mengenai masa depan, Sipovac tidak menolak kemungkinan untuk kembali mewarnai kancah Liga Malaysia pada masa hadapan.
“Saya yakin akan kembali sekiranya ada projek yang serius dan bercita-cita tinggi. Nasihat saya kepada pemain asing lain, datanglah ke sini dengan fikiran terbuka kerana anda akan mendapat pengalaman yang sangat berharga.”