Ada pihak cuba sabotaj & jadikan saya kambing hitam – TMJ

668

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkap Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Idris (TMJ), sekali lagi mengejutkan landskap bola sepak tanah air dengan pendedahan terbuka mengenai kemelut dalaman yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menerusi kenyataan terbaharu baginda, TMJ mendedahkan wujudnya gerakan terancang oleh segelintir individu dalam badan induk tersebut yang cuba mensabotaj imej baginda menggunakan pelbagai naratif melalui media dan penyokong.


TMJ mendakwa rasa tidak puas hati pihak tertentu dalam FAM bermula apabila baginda menutup ruang untuk individu-individu tersebut “mencari keuntungan” peribadi.

“Beberapa orang dalam FAM memang tidak puas hati dengan saya dari dahulu kerana tidak boleh buat duit. Ada yang datang minta tolong nak dapatkan projek, ada juga yang datang minta tolong agar tidak disiasat SPRM dan macam-macam lagi,” dedah baginda.

Ketegangan dikatakan memuncak apabila bantuan dana kerajaan diberikan secara terus kepada pasukan kebangsaan. 

Kegagalan pihak tertentu untuk terlibat dalam pengurusan dana tersebut didakwa mencetuskan kempen sabotaj secara sulit melalui kerjasama dengan pihak media dan individu tertentu di media sosial.

Dalam pada itu, menyentuh isu penggantungan pemain oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), TMJ memberikan fakta mengejutkan bahawa kes tersebut sebenarnya berkaitan dengan pemalsuan dokumen (forgery) dan penyerahan dokumen yang salah, bukannya isu kelayakan kerakyatan.

Baginda mempersoalkan integriti pihak ejen dan pegawai dalam FAM yang bertanggungjawab dalam proses penyerahan dokumen tersebut.

“Mengapa tidak hantar dokumen yang sah daripada JPN? Kerana nak selamatkan orang dalam, pemain pula dipersalahkan,” titah baginda. 

Baginda turut mendedahkan bahawa semasa perbicaraan CAS, pihak FIFA sendiri gagal mengemukakan bukti bahawa pemain terlibat atau bersubahat dalam pemalsuan berkenaan.

TMJ turut membangkitkan perbezaan ketara dalam hukuman CAS. Baginda membandingkan kes pemain wanita sebelum ini yang mengaku bersalah melakukan pemalsuan namun hanya dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan antarabangsa dan masih dibenarkan beraksi untuk kelab.

Situasi ini berbeza dengan hukuman berat yang dihadapi pemain negara ketika ini. TMJ menyelar tindakan pihak “orang dalam” yang cuba melepaskan tanggungjawab.

“Orang dalam patut bertanggungjawab. Jangan lepas tangan dan gunakan penyokong serta media untuk jadikan saya kambing hitam,” tegas baginda.