TFC ‘kilang’ pemain antarabangsa: Empat bintang import terima panggilan negara!

162

Terengganu FC (TFC) membuktikan ketajaman mata mereka dalam memburu bakat berkelas dunia apabila empat pemain import skuad Penyu secara rasmi menerima panggilan mewakili negara masing-masing bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA, penghujung Mac ini.

Kejayaan ini menyaksikan jenama Terengganu terus gah di peta bola sepak global melalui pengiktirafan yang diberikan kepada barisan pemain mereka.


Dua pemain tengah dinamik, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev, bakal memperkuatkan skuad Tajikistan, manakala jeneral tengah, Kyaw Min Oo, pula sah akan menyertai pasukan kebangsaan Myanmar.

Tidak ketinggalan, penyerang berbisa Gervane Kastaneer bakal terbang jauh bagi menyertai skuad kebangsaan Curacao dalam siri perlawanan persahabatan di Australia sebagai persiapan rapi mereka menuju ke kempen kelayakan Piala Dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian pemain-pemain baharu yang ditandatangani kelab musim ini.

“Kami berbangga kerana pemain-pemain kami diiktiraf oleh pasukan kebangsaan mereka, terutamanya Curacao yang kini dalam fasa persediaan ke Piala Dunia. Kami berharap mereka membawa pulang pengalaman antarabangsa yang berharga ini untuk memperkasakan lagi saingan liga kita nanti,” ujar beliau.

Selain penguasaan pemain import, tumpuan kini terarah kepada senarai akhir skuad Harimau Malaya yang dijangka dimuktamadkan minggu hadapan. 

Sheikh Farouk berharap agar lebih ramai pemain tempatan TFC turut diberi peluang menyarung jersi negara.

“Kami mahu melihat pemain tempatan kita juga mewakili negara. Ia bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi motivasi besar kepada pemain-pemain lain untuk terus bekerja keras demi lencana di dada,” tambahnya lagi.

Terengganu FC mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain yang terpilih. Semoga kepulangan mereka nanti membawa semangat baharu untuk terus mengharumkan nama kelab di pentas domestik dan antarabangsa.