Dunia bola sepak simpati, tindakan Tudor gantikan Kinsky dianggap kejam

1,079

Tindakan drastik pengurus Tottenham, Igor Tudor, menggantikan penjaga gol muda, Antonin Kinsky, seawal minit ke-14 mencetuskan kecaman hebat daripada bekas pemain profesional. 

Dipetik dari BBC, keputusan tersebut, yang diambil selepas Kinsky melakukan kesilapan membawa kepada gol ketiga lawan, dilabel sebagai tindakan mementingkan diri yang mampu menghancurkan masa depan pemain muda tersebut.


Bekas penjaga gol England, Paul Robinson, menyifatkan perbuatan Tudor sebagai usaha menyelamatkan diri sendiri tanpa mempedulikan maruah pemain. 

“Ia sesuatu yang mementingkan diri. Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini di atas padang, ia pasti menghancurkan jiwa Kinsky,” tegasnya. 

Joe Hart turut senada, mengakui hatinya luluh melihat Kinsky yang melalui ’14 minit ngeri’ dalam keadaan pasukan yang kucar-kacir.

Malah, bintang Fiorentina, David de Gea, turut memberikan sokongan terbuka menerusi media sosial. 

Beliau menegaskan bahawa hanya mereka yang berada di posisi penjaga gol memahami tekanan sebenar jawatan tersebut. 

Pendedahan ini meletakkan Tudor dalam tekanan hebat kerana dianggap gagal melindungi pemain muda di saat mereka paling memerlukan sokongan.