Proses tatatertib rasmi bermula, nasib Harimau Malaya bakal diketahui tidak lama lagi
Teka-teki mengenai status kedudukan Harimau Malaya dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 akhirnya terjawab apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa proses tatatertib secara rasmi telah pun dimulakan minggu lalu.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John, menjelaskan bahawa Jawatankuasa Disiplin AFC kini sedang mengikut prosedur perundangan yang ditetapkan, bermula dengan pengeluaran surat tunjuk sebab (show cause) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Datuk Seri Windsor, proses ini adalah prosedur biasa di mana pihak yang terlibat diberi ruang untuk membela diri sebelum sebarang keputusan dijatuhkan.
“Jawatankuasa disiplin sudah mulakan proses mereka minggu lepas. Biasanya, mereka akan berikan tempoh masa antara seminggu hingga sepuluh hari untuk FAM menjawab kenapa tindakan tidak boleh diambil berdasarkan peraturan yang didakwa telah dilanggar,”
jelas beliau pada sidang media mengenai status terkini audit AFC.
Setelah jawapan diterima, jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat untuk membandingkan pembelaan FAM dengan fakta kes yang telah dikumpul oleh sekretariat disiplin, termasuk fail kes daripada FIFA dan Mahkamah Timbul Tara Sukan (CAS).
Dalam pada itu, menjawab spekulasi yang membandingkan kes Harimau Malaya dengan hukuman yang pernah diterima Timor-Leste sebelum ini, Datuk Seri Windsor menegaskan bahawa kedua-dua situasi tersebut sangat berbeza dari segi konteks masa dan fakta.
“Kes Timor-Leste melibatkan 12 pemain tidak sah dan dikesan selepas pertandingan sudah tamat. Apabila kejohanan sudah habis, hukuman tidak boleh dibuat ke belakang (retrospektif), sebab itu mereka dihukum dilarang bermain untuk edisi akan datang.”
Beliau menambah, situasi Harimau Malaya pula berlaku ketika pertandingan masih berjalan, yang bermaksud sebarang bentuk hukuman boleh dikuatkuasakan serta-merta mengikut bidang kuasa yang termaktub dalam Kod Disiplin AFC (Artikel 25 dan 56).
Datuk Seri Windsor turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang salah.
Tegasnya, Jawatankuasa Disiplin tidak boleh bertindak melampaui kuasa yang diberikan kerana setiap keputusan boleh dicabar di peringkat rayuan dan CAS.
“Kes perundangan ini tidak boleh diambil mudah. Mereka perlu menilai kebenaran. Jawatankuasa mempunyai kuasa, tetapi kuasa itu ada hadnya di dalam kod disiplin. Tidak boleh lebih, tidak boleh kurang.”
Sementara itu, beliau berharap agar kemelut ini dapat ditutup secepat mungkin memandangkan fail kes ini sudah pun dibuka sejak beberapa bulan lalu.
Keputusan akhir kini bergantung kepada mesyuarat jawatankuasa disiplin yang dijangka akan berlangsung sebaik sahaja maklum balas daripada FAM diterima.