Budaya organisasi FAM perlu berubah, AFC kesan ‘budaya akur’ jadi penghalang
Selepas hampir sebulan melakukan penelitian mendalam terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Vahid Kardany, mendedahkan punca utama yang membelenggu organisasi tersebut.
Bukan sekadar teknikal atau kewangan semata-mata, Vahid menegaskan bahawa masalah paling besar yang perlu diatasi segera adalah budaya organisasi.
Vahid, yang mengetuai pasukan audit AFC, menjelaskan bahawa wujudnya ‘budaya akur’ (culture of conformity) yang menebal dalam kalangan kakitangan, sehingga membantutkan kemajuan dan inovasi dalam pentadbiran bola sepak negara.
“Jika saya boleh katakan dalam satu perkataan sahaja, ia adalah budaya. Budaya organisasi perlu diubah. Tanpa sebarang tekanan daripada sesiapa pun, semua orang berfikir bahawa mereka memang perlu melakukannya dengan cara sebegitu (cara lama).”
Menurut beliau, budaya seperti ini tidak wujud dalam persekutuan bola sepak yang berjaya di peringkat antarabangsa.
Justeru, transformasi mentaliti kakitangan daripada peringkat akar umbi hingga ke atasan adalah kunci utama untuk masa depan FAM.
Walaupun kritikal terhadap budaya kerja, Vahid mengakui proses audit berjalan dengan sangat lancar dan telus.
Beliau memuji sikap terbuka kakitangan FAM yang jujur dalam memberikan maklumat bagi membantu proses penambahbaikan.
Dalam pada itu, Vahid juga berkata kini, pakar-pakar daripada pelbagai bidang sedang meneliti hampir 100 dokumentasi berbeza merangkumi aspek Sumber Manusia (HR), kewangan, pemasaran, dan perundangan.
“Situasinya tidaklah seteruk yang kami sangkakan pada mulanya. Namun, jika kita boleh memperbetulkan masalah budaya ini, itulah sebabnya kami memerlukan lebih masa untuk meneliti perkara ini dengan lebih mendalam.”
Selepas Aidilfitri, AFC merancang untuk menjalankan Program Prestasi Kewangan (FPP) dan bertemu dengan semua pemegang taruh termasuk Malaysia Football League (MFL) serta Amateur Football League (AFL).
Vahid menekankan bahawa tahap profesionalisme FAM hanya akan meningkat jika ahli gabungannya termasuk kelab, pemain, jurulatih, dan pengadil turut berada pada tahap yang tinggi.
“Kami di AFC sentiasa mengatakan bahawa kami hanya sekuat ahli-ahli kami. Jika keahlian mempunyai kekuatan dan profesionalisme yang tinggi, secara automatik tahap FAM akan menjadi lebih tinggi.”
Sementara itu, bagi memastikan transformasi ini berjaya, AFC akan terus membincangkan peranan dan tanggungjawab kakitangan FAM, termasuk menetapkan Indikator Prestasi Utama (KPI) serta huraian kerja (job description) yang lebih jelas dan telus.
Dapatan audit ini diharapkan menjadi titik tolak kepada era baharu bola sepak Malaysia yang lebih profesional, telus, dan dinamik, sekali gus meninggalkan ‘budaya lama’ yang selama ini menghalang potensi sebenar Harimau Malaya.