Kemenangan Senegal dibatalkan, Morocco diisytihar juara AFCON
Dunia bola sepak Afrika dikejutkan dengan keputusan drastik Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang membatalkan kemenangan Senegal dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.
Dipetik dari BBC, meskipun Senegal menewaskan Morocco 1-0 pada aksi 18 Januari lalu, gelaran juara kini secara rasmi diserahkan kepada Morocco dengan keputusan teknikal 3-0.
Segalanya berpunca daripada tindakan kontroversi pemain Senegal yang melakukan walk-off atau enggan meneruskan permainan selama 17 minit.
Tindakan itu sebagai protes selepas tuan rumah, Morocco, dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Walaupun perlawanan disambung semula dan Senegal akhirnya menang melalui gol Pape Gueye, rayuan Persatuan Bola Sepak Morocco (FRMF) telah diterima oleh lembaga rayuan CAF.
CAF menegaskan Senegal melanggar Artikel 82 dan 84 peraturan kejohanan yang menetapkan mana-mana pasukan yang meninggalkan padang tanpa kebenaran pengadil akan dianggap kalah secara automatik.
FRMF menyatakan rayuan tersebut dibuat demi integriti peraturan, manakala peminat bola sepak menyifatkan keputusan ini sebagai detik paling dramatik dalam sejarah penganjuran AFCON.