Harimau Malaya tanpa Nacho Mendez akibat kecederaan; Bergson & GG sah dalam radar kem akan datang

298

Kehadiran semula Harimau Malaya ke kem latihan pusat kali ini mengundang seribu satu persoalan dalam kalangan penyokong tegar yang mendambakan kelibat bintang seperti Nacho Mendez, Bergson da Silva, dan Giancarlo Gallifuoco (GG) untuk memperkasakan skuad, ketiadaan mereka ternyata memberi impak emosi yang besar.

Menurut Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, isu pendaftaran dan kecederaan menjadi penghalang utama yang tidak dapat dielakkan.


“Saya dimaklumkan pendaftaran mereka tidak sempat disiapkan untuk perlawanan kali ini. Sebagai jurulatih, persamaannya mudah, mereka tidak tersedia untuk pemilihan,”

ujarnya.

Namun, berita gembira buat peminat kerana kedua-dua pemain ini mempunyai keinginan luar biasa untuk menyarung jersi negara pada kem akan datang.

Nasib berbeza pula menimpa Nacho Mendez kerana pemain tengah prolifik itu sah tidak dapat menyertai kem akibat kecederaan yang dialami dalam perlawanan terakhirnya beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, selain isu kecederaan, pemilihan pemain berpengalaman seperti Junior Eldstal turut menjadi perdebatan. 

Cklamovski menegaskan bahawa “data kepimpinan” adalah sesuatu yang tidak boleh diukur dengan statistik semata-mata kerana kehadiran pemain senior amat penting dalam menstabilkan moral pasukan, terutamanya selepas tamparan hebat isu pemotongan mata yang menjejaskan kelayakan ke Piala Asia.

Skuad negara dijadualkan bertolak ke Thailand untuk latihan pusat yang lebih intensif yang mana mereka juga akan mengharungi beberapa perlawanan dalaman (internal sparring) sebelum terbang ke Vietnam untuk misi memburu kemenangan.

Dalam pada itu, walaupun kontraknya bakal berakhir tidak lama lagi, komitmen Cklamovski terhadap Harimau Malaya kekal utuh. 

Beliau mengakui ralat dengan perkara luar padang yang menjejaskan kelayakan Asia, namun impian membawa Malaysia ke Piala Dunia tetap menjadi fokus jangka panjang.

“Saya sudah jatuh cinta dengan negara ini. Bukti kerja kami selama 12 bulan menunjukkan kami berada di landasan yang betul. Spekulasi jawatan itu biasa, tapi visi saya adalah untuk melihat ekosistem bola sepak Malaysia bersatu mencapai impian.”