Perlawanan getir menanti, namun saya yakin kita mampu menang!” – Nooa Laine

101

Bahagian tengah Harimau Malaya kembali diperkuat dengan kehadiran bintang muda, Nooa Laine, bagi menghadapi misi penting menentang Vietnam dalam aksi timbal balik Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027.

Nooa menyuarakan keyakinan tinggi terhadap persiapan skuad kebangsaan yang kini memasuki fasa paling kritikal.


Selepas mengharungi siri latihan pusat bermula di Kuala Lumpur (23 Mac) dan kini sedang memuncup di Bangkok, Thailand, Nooa menyifatkan suasana dalam kem negara berada pada tahap terbaik. 

Walaupun terdapat beberapa muka baharu, beliau menegaskan bahawa sistem permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski, sangat mudah difahami.

“Sangat bagus dapat berkumpul semula selepas sekian lama. Barisan kejurulatihan banyak membantu kami untuk serasi dengan cepat dalam sistem yang ingin dimainkan. Sebagai pemain yang sudah lama dalam kem, kami juga membantu pemain baharu untuk menyesuaikan diri,” 

katanya.

Bagi Nooa, setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya, ia adalah satu penghormatan besar, tidak kira sama ada ia perlawanan persahabatan mahupun kelayakan, misinya tetap sama: memberikan aksi terbaik demi negara.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pertemuan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong pada Selasa, 31 Mac ini, Nooa sedar cabaran getir yang menanti di tempat lawan. Namun, beliau melihat kualiti yang ada pada skuad negara mampu untuk mengejutkan pasukan tuan rumah.

“Setiap perlawanan kami turun untuk menang. Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sukar di tempat lawan, tetapi kami mempunyai pasukan yang sangat baik. Saya percaya kami mampu membawa pulang kemenangan.”

Sementara itu, Nooa turut memuji kemudahan latihan yang disediakan sepanjang tempoh persiapan ini. 

Dengan kualiti padang dan stadium yang memuaskan, tiada alasan lagi bagi pemain untuk tidak memberikan seratus peratus di atas padang.