Misi maruah di bumi Vietnam: Walau rebah, Harimau Malaya tetap berjuang demi lencana di dada!

268

Impian jutaan peminat bola sepak tanah air untuk melihat kelibat Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2027 buat kali kedua berturut-turut akhirnya berkecai. 

Bukan kerana tumpas di padang, tetapi kerana “gol sendiri” yang mencetuskan krisis paling gelap dalam sejarah moden bola sepak negara.


Segalanya bermula apabila Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Disember 2025 mengesahkan berlakunya kontroversi pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain negara. 

Impaknya amat dahsyat; FIFA mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 yang sebelum ini dimenangi.

Luka tersebut semakin besar apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut mengikut jejak langkah yang sama apabila dua kemenangan penting dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dibatalkan atas isu teknikal pemain yang tidak sah. 

Mata yang dikumpul lebur begitu sahaja, menyebabkan kedudukan ranking Harimau Malaya menjunam jatuh 14 anak tangga ke kedudukan ke-135 dunia.

Malam ini, skuad kendalian Peter Cklamovski bakal turun menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh. 

Secara matematiknya, perlawanan ini dianggap ‘tidak bermakna’ kerana pintu ke Piala Asia 2027 sudah tertutup rapat buat Malaysia akibat pemotongan mata tersebut.

Namun, bagi seorang pemain bola sepak, jersi Harimau Malaya di dada bukanlah sekadar jersi, sebaliknya ia adalah maruah. 

Meskipun beraksi di tempat lawan yang terkenal dengan suasana ‘bingit’ penyokong Vietnam, skuad Cklamovski perlu membuktikan bahawa semangat juang mereka tidak luntur dek kontroversi birokrasi.

Di sebalik kekecewaan yang menyelubungi kem negara, satu perkara yang tetap utuh adalah kesetiaan penyokong yang mana dilaporkan sejumlah ‘Ekor Harimau Malaya’ tetap terbang ke Vietnam dan akan memenuhi ruang di Stadium Thien Truong malam ini. 

Kehadiran mereka membuktikan bahawa sokongan kepada pasukan kebangsaan tidak pernah bersyarat walaupun ketika harapan sudah punah.

Kegagalan ini memang perit untuk ditelan, namun setiap kejatuhan adalah peluang untuk satu kebangkitan yang lebih besar. 

Biarlah episod hitam pemalsuan dokumen ini menjadi pengajaran paling berharga buat pengurusan bola sepak negara agar lebih teliti dan telus di masa hadapan.

Malam ini, biarlah keputusan di Nam Dinh menjadi titik mula proses penyembuhan. 

Menang atau kalah, kita tetap berdiri di belakang Harimau Malaya. Kerana sejauh mana pun kita jatuh, kita sentiasa punya kekuatan untuk melompat lebih tinggi.

Selamanya Harimau Malaya!