“Bajet kecil, jiwa gergasi!” – Aidil Sharin bangga Kuching City FC kejutkan Selangor di MBPJ

348

Status sebagai pasukan underdog langsung tidak menggetarkan azam Kuching City FC untuk melakar kejutan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/26. 

Keputusan seri 1-1 menentang gergasi Lembah Klang, Selangor FC di Stadium MBPJ malam tadi dianggap sebagai satu kemenangan moral buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.


Meskipun ramai yang menjangkakan Selangor akan mendominasi perlawanan dengan mudah, “The Cats” membuktikan bahawa bola sepak bukan hanya dimenangi di atas kertas atau melalui bajet yang besar.

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya terhadap disiplin dan kerja keras anak buahnya.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Saya berikan kredit sepenuhnya kepada pemain. Mereka bekerja sangat keras malam ini. Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, bukan mudah bermain menentang Selangor di tempat mereka sendiri,”

katanya.

Walaupun menyedari pasukannya hampir membawa pulang kemenangan jika tidak kerana sedikit kelekaan di penghujung perlawanan, Aidil tetap bersifat terbuka kerana baginya, kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Dalam pada itu, menyentuh soal tekanan beraksi menentang pasukan sebesar Selangor, Aidil memberikan jawapan yang cukup tajam namun profesional. 

Beliau menegaskan bahawa tekanan sepatutnya berada di bahu pihak lawan yang mempunyai jangkaan yang jauh lebih tinggi.

“Mengapa kami perlu rasa tekanan sedangkan mereka mempunyai bajet yang lebih besar, pemain yang lebih hebat, dan jangkaan yang tinggi?

Lihat berapa banyak jurulatih yang telah mereka tukar hanya kerana mahukan keputusan segera. Bagi kami, kami hanya lakukan bahagian kami secara profesional.”

Tambahnya lagi, dalam tempoh dua tahun, Kuching City telah mencatatkan kemajuan luar biasa dengan bajet yang terhad, sekaligus membuktikan pengurusan yang bijak dan semangat juang mampu menandingi kemewahan material.

Sementara itu, Aidil berkata keputusan 1-1 ini memberikan kelebihan psikologi buat pasukannya menjelang aksi timbal balik kedua dalam masa dua minggu lagi. 

Aidil sempat menitipkan pesanan buat penyokong setia di Sarawak untuk memenuhi stadium dan menjadi “pemain ke-12” mereka.

“Suasana di MBPJ malam ini fantastik. Jadi, untuk perlawanan seterusnya di Kuching, saya mahu semua peminat turun bersorak. Itulah yang akan memberikan kami lebih motivasi untuk mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir.”