Peluang kami lebih tinggi untuk ke final Piala Malaysia – KPG

137

Walaupun sekadar terikat seri 1-1 menentang Kuching City FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/26, pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon tetap tenang dan optimis dengan kemampuan anak buahnya.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium MBPJ, Gergasi Merah terpaksa bekerja keras untuk bangkit menyamakan kedudukan di saat-saat akhir selepas dikejutkan oleh kekentalan pertahanan skuad “The Cats”.


Menurut Pan-gon, pasukannya telah mempamerkan struktur permainan yang sangat baik, terutamanya pada fasa awal perlawanan, namun masalah utama yang membelenggu Selangor malam tadi adalah kegagalan menterjemah dominasi perlawanan kepada jaringan gol.

“Kami bermula dengan sangat baik. Cuma di bahagian penyudah terakhir, kami bergelut sedikit. Sebenarnya, Kuching sangat kuat dan pertahanan mereka sangat kental semalam. Saya tidak boleh menyalahkan pemain sepenuhnya kerana kebanyakan masa, kami yang mengawal dan mendominasi perlawanan,”

katanya.

Beliau juga menyifatkan nasib kurang menyebelahi pasukannya apabila jaringan cantik dibatalkan kerana kedudukan offside.

Dalam pada itu, Pan-gon mendedahkan situasi sebenar di kem Selangor, Pan-gon memberitahu bahawa pasukan itu sebenarnya hanya sempat mengadakan satu sesi latihan penuh selepas bercuti panjang selama empat minggu, selain kehilangan ramai tonggak utama ke skuad kebangsaan.

Meskipun dengan persediaan yang sangat singkat, jurulatih dari Korea Selatan itu tetap berpuas hati dengan karakter yang ditunjukkan pemainnya yang enggan menyerah kalah sehingga wisel penamat.

Menjelang aksi timbal balik kedua di Kuching nanti, Pan-gon seolah-olah memberi “amaran” dan cabaran terbuka kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak. 

Beliau yakin Selangor mempunyai peluang lebih cerah untuk melangkah ke final berdasarkan kualiti permainan yang ditunjukkan.

“Jika mereka (Kuching City) mahu menyerang kami di laman sendiri nanti, kami gembira. Sangat gembira! Kami akan ke sana untuk melihat sama ada mereka berani gunakan kelebihan itu.

Kami tidak akan hanya bertahan, kami mahu menyerang dan jadikannya perlawanan yang menarik buat peminat.”

Ditanya mengenai insiden penalti yang mencetuskan perdebatan ramai, Pan-gon memilih untuk “mengunci mulut” daripada mengulas keputusan pengadil demi menjaga profesionalisme, walaupun mengakui beliau mempunyai banyak perkara yang boleh diperkatakan.

Sementara itu, Pan-gon memberi ucapan penghargaan buat peminat Selangor yang sanggup meninggalkan kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri demi memenuhi stadium.

“Walaupun dalam tempoh Hari Raya dan banyak rumah terbuka, penyokong tetap datang. Itulah kekuatan kami. Kami akan cuba lakukan yang terbaik dan berikan berita gembira dari Kuching nanti!”