Bukan sekadar bola sepak! Terengganu FC kini ‘berlari’ bersama Terengganu Marathon 2026
Terengganu Football Club (TFC) terus memacu langkah proaktif dalam memperkasakan ekosistem sukan negeri apabila mengumumkan kerjasama strategik bersama penganjur Terengganu Marathon 2026 (TM26).
Kerjasama yang bermula tahun ini bukan sekadar satu simbolik, malah ia merupakan usaha serius kedua-dua pihak dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta menjadikan Terengganu sebagai sebuah hab sukan yang dinamik dan inklusif.
Melalui kolaborasi ini, Terengganu FC akan bertindak sebagai “ejen perubahan” dengan mempromosikan Terengganu Marathon sebagai salah satu acara flagship sukan di negeri Pantai Timur itu.
Ini membuktikan peranan TFC melangkaui padang bola sepak, sebaliknya turut menyentuh aspek kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Peminat setia Sang Penyu jangan lepaskan peluang! Sempena acara ini, Terengganu FC dijemput khas untuk memeriahkan TM26 Running Expo yang akan berlangsung di:
- Lokasi: Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
- Tarikh: 30 April hingga 2 Mei 2026.
Booth jualan rasmi TFC akan dibuka sepanjang tiga hari tersebut, menawarkan pelbagai barangan eksklusif dan merchandise rasmi kelab buat pengunjung dan peserta larian yang hadir.
Sementara itu, kerjasama ini dijangka tidak terhenti di sini sahaja. Kedua-dua pihak sudah mula melihat potensi penganjuran pelbagai acara sampingan (side events) pada masa akan datang bagi menambah nilai pengalaman peserta.
Langkah progresif ini dilihat mampu merapatkan hubungan antara peminat bola sepak dan komuniti pelari, sekali gus memperkukuhkan lagi penjenamaan Terengganu sebagai destinasi sukan utama di Malaysia.
Hitam Putih Kebanggaan, kini bersedia untuk “pecah peluh” di trek larian pula!