Mikel Arteta enggan Arsenal ‘layu’ di Lisbon

44

Arsenal bakal berdepan Sporting Lisbon dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pagi Rabu ini dengan misi yang lebih besar daripada sekadar memburu kemenangan. 

Dipetik dari BBC, selepas dikecewakan berturut-turut oleh Manchester City dalam final Piala Carabao dan Southampton di Piala FA, skuad kendalian Mikel Arteta kini berada di bawah mikroskop: adakah mentaliti mereka cukup kental untuk mengelak musim ini daripada “merebak” menjadi satu lagi kegagalan?


Walaupun selesa mendahului Premier League dengan kelebihan sembilan mata, label ‘hampir juara’ masih menghantui The Gunners selepas tiga musim berturut-turut sekadar menghuni tangga kedua. 

Musim ini, Arsenal tampil lebih berbisa, namun dua kekalahan drastik baru-baru ini mula menimbulkan keraguan terhadap ketahanan emosi pemain.

Arteta bagaimanapun tetap tenang dan mencabar anak buahnya untuk bangkit. “Rasakan kepahitan itu, rasakan emosinya, dan gunakan ia untuk menjadi lebih baik,” tegas beliau. 

Pertembungan di Lisbon ini bakal menjadi kayu ukur sama ada Arsenal benar-benar sudah bersedia untuk menjulang trofi major pertama mereka sejak 2020, atau sejarah lama bakal berulang kembali.