Bayern Munich ‘gementar’ tunggu Harry Kane, wira ‘istimewa’ sedia gempur Bernabeu?
Gergasi Bundesliga, Bayern Munich kini dalam debaran menantikan tahap kecergasan penyerang berbisa mereka, Harry Kane, menjelang aksi suku akhir pertama Champions League menentang Real Madrid.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan mengalami isu buku lali yang menyebabkannya terlepas aksi antarabangsa bersama England dan perlawanan liga menentang Freiburg sebelum ini.
Walaupun telah menyertai sesi latihan terakhir di Munich sebelum berlepas ke Madrid, pengendali Bayern, Vincent Kompany masih enggan mendedahkan status sebenar penyerang itu sebagai kesebelasan utama.
“Harry adalah sebahagian daripada pasukan, itu berita positif. Namun, keputusan akhir hanya akan dibuat pada hari perlawanan,” jelas Kompany yang mahu berahsia mengenai taktikalnya di Bernabeu.
Kepentingan Kane dalam skuad Die Roten tidak perlu disangkal lagi selepas meledak 10 gol di pentas Eropah dan 31 gol di Bundesliga musim ini. Rakan sepasukan, Joshua Kimmich menyifatkan Kane sebagai pemimpin sejati dan suri teladan yang luar biasa.
Baginya, kehadiran Kane bukan sekadar untuk menjaringkan gol, malah mentaliti kepimpinannya sangat vital untuk menumbangkan Real Madrid di laman keramat mereka.
Adakah “The Hurricane” bakal muncul memusnahkan impian Madrid, atau Bayern terpaksa akur tanpa penyerang utama mereka?