Misi separuh akhir, Adam Muqri yakin skuad B-16 mampu melakar kejutan

103

Debaran kian terasa menjelang sepak mula Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 di Indonesia. Kapten skuad Harimau Muda B-16, Adam Muqri Muhaizam, mendedahkan bahawa pasukannya kini berada pada tahap kesediaan tertinggi untuk menggalas cabaran negara meskipun bakal turun sebagai pasukan yang “setahun lebih muda” berbanding lawan lain. 

Adam menegaskan bahawa mentaliti pemenang telah pun ditanam dalam sanubari setiap pemain sejak hari pertama latihan lagi.


Persiapan selama dua minggu selepas sambutan Aidilfitri biasanya menjadi cabaran besar buat mana-mana atlet, namun bagi Adam, rakan-rakannya telah membuktikan profesionalisme yang luar biasa. 

“Coaching staff berikan latihan intensiti yang tinggi, jadi saya rasa semua pemain dah sedia untuk ‘fight’ dalam kejohanan kali ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun mengakui risiko badan menjadi berat selepas musim perayaan, Adam memuji disiplin rakan sepasukannya. 

“Normal kalau rasa berat sikit, tapi pemain jaga disiplin pemakanan dan buat latihan sendiri di rumah. Jadi, ‘gap’ untuk kami kejar balik tahap latihan itu tidak jauh.”

Dalam pada itu, bercakap mengenai keserasian pasukan yang menggabungkan bakat daripada pelbagai latar belakang seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam melihat ia bukan satu masalah besar. 

Menurutnya, kebanyakan pemain sudah biasa beraksi sesama sendiri dalam kejohanan domestik sebelum ini. 

”Untuk dapatkan kesefahaman antara satu sama lain itu agak mudah bagi kami. Jadi saya rasa tiada masalah dari segi keserasian.”

Dalam pada itu, Malaysia tidak diberikan laluan mudah apabila diundi dalam “Kumpulan Maut” bersama gergasi serantau, Vietnam, tuan rumah Indonesia, dan Timor-Leste. 

Mengulas mengenai aksi pembukaan menentang Vietnam, Adam menyatakan bahawa pihak kejurulatihan telah menyuntik semangat juang yang tinggi agar mereka tidak gentar dengan reputasi lawan. 

“Of course, jurulatih dah letak satu mindset iaitu ‘winning mentality’. Kami akan lawan, tak kira faktor umur sebab ini adalah bola sepak.”

Sementara itu, menyentuh mengenai sasaran separuh akhir yang diletakkan oleh ketua jurulatih, Shukor Adan, Adam menyahut cabaran tersebut dengan penuh optimis dan percaya dengan kualiti yang ada pada skuad kali ini. 

“Ya, saya percaya 100 peratus. Saya dan rakan-rakan boleh buat yang terbaik dan kami akan habis-habisan di sana nanti.”