Old Trafford ‘luruh’, Leeds malukan United!
Manchester United terpaksa menelan pahit selepas tunduk kepada Leeds United di laman sendiri, malam tadi.
Dipetik dari BBC, kemenangan pertama Leeds di Old Trafford sejak 1981 ini bukan sahaja memalukan skuad kendalian Michael Carrick, malah memberi tamparan hebat buat Sir Jim Ratcliffe yang dilihat kecewa di bangku penonton.
Aksi separuh masa pertama United cukup hambar, menyaksikan Noah Okafor meledak dua gol buat pelawat.
Keadaan menjadi lebih parah selepas rehat apabila Lisandro Martinez dilayangkan kad merah akibat insiden menarik rambut Dominic Calvert-Lewin.
Walaupun bermain dengan 10 orang, United cuba bangkit melalui gol Casemiro hasil assist ke-17 Bruno Fernandes musim ini.
Namun, ketangkasan Karl Darlow dan tindakan Calvert-Lewin menyelamatkan bola di atas garisan gol memastikan United pulang hampa.
Kekalahan pertama Carrick di laman sendiri ini meletakkan United dalam tekanan besar menjelang pertemuan menentang Chelsea.
Jika terus tercicir mata, kedudukan mereka dalam liga akan terus terancam, manakala Leeds kini selesa menghampiri zon selamat.