Laura Langman tekad bawa Johor Jewels kembali ke Puncak NSL 2026

137

Saingan Netball Super League (NSL) 2026 kini mencecah tahap luar biasa dengan kehadiran legenda hidup bola jaring dunia, Laura Langman. Bekas kapten New Zealand dan juara dunia itu menyatakan keterujaannya menyarung jersi Johor Jewels dengan satu misi jelas iaitu merampas semula trofi kejuaraan yang terlepas pada aksi final musim lalu. 

Kepulangan Langman ke kancah kompetitif selepas sekian lama pastinya memberi dimensi baharu buat kualiti liga bola jaring tempatan.


Selain faktor teknikal, Langman mendedahkan bahawa tarikan budaya dan gaya hidup di Johor menjadi punca utama beliau tertarik menyertai skuad kendalian Jane Searle. 

“Saya sering mendengar banyak perkara yang baik tentang Johor terutama rakyat serta makanannya dan saya terus berkata ya, saya mahu turut serta,” jelasnya dalam temubual eksklusif bersama Media Digital Johor. 

Beliau mengakui keramahan rakyat Malaysia menjadikannya berasa dialu-alukan sebagai sebahagian daripada keluarga besar Jewels.

Walaupun Johor Jewels berjaya muncul juara pramusim, Langman menganggap ia bukan indikasi sebenar kekuatan pasukan kerana kualiti saingan NSL kini kian meningkat. 

“Ianya akan menjadi musim yang sukar kerana saya boleh lihat ketepatan lontaran di NSL adalah antara yang terbaik dan dengan adanya format dua mata ianya akan menjadikan perlawanan lebih menarik.”

Kekuatan Johor Jewels musim ini dijangka lebih digeruni menerusi gandingan Langman bersama bintang Australia, Gretel Bueta. 

Langman turut menyeru para penyokong membanjiri Stadium Juara, Bukit Kiara bermula Sabtu ini bagi menentang Melaka Mystic dan Selangor Angels pada Ahad. 

Dengan pengalaman luas dan mentaliti juara yang dibawa Langman, peminat pastinya mengharapkan persembahan bertenaga dalam usaha Johor Jewels kembali bergelar juara NSL 2026.