TFC ke Liga A1? Adakah ini permulaan ‘migrasi besar-besaran’ kelab Liga Super?

278

Landskap bola sepak Malaysia kini dilanda kegusaran susulan khabar angin mendakwa gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC), sedang mempertimbangkan langkah drastik untuk turun ke saingan Liga A1 Semi-Pro pada musim hadapan. 

Keputusan yang mengejutkan ini dipercayai berpunca daripada kekangan kewangan yang semakin menghimpit pengurusan kelab, memandangkan kos untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi Liga Super memerlukan perbelanjaan mencecah puluhan juta ringgit. 


Situasi ini mungkin berlaku dek jurang persaingan dilihat terlalu besar dengan dominasi mutlak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah menguasai liga lebih sedekad, menyebabkan banyak pasukan lain mula memikirkan alternatif yang lebih realistik demi kelangsungan hidup.

Trend ini mungkin tidak terhenti di Terengganu sahaja kerana Sri Pahang FC juga dilaporkan bakal kembali ke kancah Liga Malaysia, yang mana skuad Tok Gajah berkemungkinan besar perlu memulakan langkah dari Liga A1 terlebih dahulu. 

Sekiranya penghijrahan TFC ke liga bawahan menjadi kenyataan, ia dijangka menjadi pencetus kepada kelab-kelab lain yang sedang bergelut dengan masalah tunggakan gaji untuk mengambil langkah serupa. 

Dengan kos operasi yang jauh lebih rendah di Liga A1, kelab-kelab ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah berpeluang membina semula kekuatan pasukan untuk mencabar kejuaraan dalam ekosistem yang lebih seimbang tanpa tekanan hutang yang melampau. 

Akhirnya, langkah “turun pangkat” ini mungkin dilihat sebagai satu pelan pemulihan terbaik berbanding terus tersiksa dalam krisis kewangan yang tidak berkesudahan di liga utama.