Presiden baharu FAM perlu ‘Restu’ TMJ – Yusoff Mahadi
Kerusi panas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini menjadi tumpuan utama pemerhati sukan tanah air.
Namun, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah peranan besar yang dimainkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam menentukan hala tuju badan induk tersebut.
Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan bahawa jawatan tersebut bukanlah tempat untuk sesiapa melakukan eksperimen atau bersikap ‘try and error’.
Sebaliknya, ia memerlukan individu yang mempunyai pelan jelas dan kefahaman mendalam mengenai ekosistem bola sepak tempatan.
Mengulas mengenai desas-desus penglibatan tokoh korporat dan ahli politik, Yusoff melihat wujud risiko besar jika mereka gagal mengimbangi tekanan jawatan tersebut.
“Dalam konteks korporat, persoalannya adalah keupayaan membina hubungan strategik dengan kerajaan serta kesanggupan berkorban kewangan. Manakala bagi ahli politik, ketidakstabilan landskap politik Malaysia boleh menjejaskan kesinambungan dasar organisasi sukan tertinggi ini,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media.
Beliau turut menambah bahawa bola sepak moden memerlukan suntikan jutaan ringgit secara konsisten setiap tahun, satu cabaran besar dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Dalam keadaan landskap bola sepak yang semakin mencabar, TMJ dilihat sebagai satu-satunya figura yang kekal relevan dan komited tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik mahupun korporat.
Yusoff menegaskan, Presiden FAM yang baharu kelak perlu mempunyai kekuatan mental yang luar biasa, terutama dalam mendepani kecaman netizen di era media sosial dan teknologi AI.
Beliau tidak mahu pemimpin yang mudah ‘koyak’ apabila ditekan secara berterusan.
Menyedari pengaruh besar baginda, Yusoff menyarankan agar pemilihan jawatan nombor satu itu dilakukan dengan penuh teliti.
“Jika Tunku Mahkota Ismail tidak mahu memegang jawatan tersebut, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta restu daripada baginda.”
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan FAM diterajui oleh tokoh-tokoh hebat sebelum ini, namun realiti bola sepak moden memerlukan jaringan pengaruh yang luas. Tanpa sokongan daripada figura berpengaruh seperti TMJ, perjalanan bola sepak negara menuju kejayaan pasti akan menjadi lebih berliku.
“Ini bukan sekadar tentang jawatan, tetapi tentang kekuatan, jaringan, dan keupayaan menggerakkan seluruh sistem ke hadapan. Fikir-fikirkanlah,” ujarnya menutup bicara.