MISI KE FINAL: Shukor Adan puji karakter ‘bounce back’ Harimau Muda!
Sasaran awal sudah digapai, kini misi baharu bermula. Ketua jurulatih skuad Harimau Muda B-16, Shukor Adan, menggesa anak buahnya untuk terus mempamerkan karakter jitu menjelang aksi separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-17 2026 menentang Laos, Rabu ini.
Perjalanan skuad negara dalam kejohanan kali ini boleh diibaratkan seperti rollercoaster kerana selepas tumpas berat 4-0 kepada Vietnam pada aksi pembukaan, ramai yang mula meragui keupayaan pasukan yang turut dibarisi pemain semuda 15 tahun ini.
Namun, bagi Shukor, keupayaan pemainnya bangkit daripada kekecewaan adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
“Bagi saya, benda yang paling menarik tentang pasukan ini adalah bagaimana mereka ‘come back’ daripada apa yang berlaku dalam perlawanan pertama. Karakter pemain yang tidak berputus asa dan disiplin bertahan yang tinggi menjadi kunci kejayaan,”
ujarnya.
Beliau turut mengakui bahawa tekanan selepas kalah kepada Vietnam adalah sangat hebat, namun pujian harus diberikan kepada barisan kejurulatihan yang berjaya memulihkan mental pemain untuk menumbangkan gergasi tuan rumah, Indonesia, dan seterusnya Timor Leste.
Dalam pada itu, menjelang aksi di Gelora Delta Sidoarjo nanti, Shukor memberi amaran keras agar tidak memandang rendah keupayaan Laos berikutan status Laos sebagai juara Kumpulan B selepas mengejutkan Thailand 3-2 membuktikan mereka bukan pasukan sembarangan.
“Laos mempunyai serangan balas yang kuat dan semangat berpasukan yang tinggi. Saya sudah ingatkan pemain, jangan sesekali ‘underrate’ pihak lawan. Kami akan lakukan pendekatan taktikal dalam tempoh dua hari ini untuk memerangkap mereka.”
Dengan rekod bersih tanpa kecederaan serius atau penggantungan pemain, Shukor kini optimis untuk membawa Malaysia ke perlawanan akhir.
“Alang-alang kita dah sampai ke semifinal, kita kena buat sehabis baik untuk ke final. Saya yakin dengan motivasi pemain. Kami akan fokus ‘game by game’ dan harap doa daripada seluruh penyokong di Malaysia agar anak-anak ini dapat menjalankan tugas dengan terbaik.”