Stadium Titiwangsa bakal ‘pecah’! Buakaw sedia gegar T-Fight All-Stars Jumaat ini!

192

Demam sukan tempur dalam kalangan peminat tempatan kini benar-benar mencapai tahap ‘merah’ apabila stadium keramat, Stadium Titiwangsa, bakal menjadi saksi kepulangan legenda hidup Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek. 

Jumaat ini (24 April), tumpuan seluruh negara pastinya terarah kepada susuk tubuh ikonik berusia 44 tahun ini yang bakal kembali menyarung sarung tin di pentas Kejohanan Muay Thai T-Fight All-Stars.


Penampilan juara dua kali K1 World Max ini merupakan detik yang paling dinanti-nantikan oleh penyokong tempatan untuk melihat sendiri adakah “The Legend” masih memiliki bisa dan ketangkasan luar biasa. 

Namun, harus diingat bahawa kehadiran Buakaw ke Kuala Lumpur kali ini bukanlah untuk sekadar sesi bertemu peminat, sebaliknya satu tugas berat menanti beliau di atas gelanggang pada malam Jumaat nanti.

Buakaw dijadualkan berdepan dengan wakil kental dari China, Mao Gaofeng, yang bukan calang-calang lawan. Memiliki rekod 33 kemenangan daripada 45 pertarungan, Gaofeng dilihat mampu memberikan kejutan besar buat Buakaw. 

Walaupun “The Legend” mempunyai pengalaman antarabangsa yang cukup luas, beliau tetap perlu berwaspada dengan cabaran sengit jagoan tembok besar itu dalam misi menguasai gelanggang T-Fight.

Selain aksi tumpuan yang mendebarkan itu, kejohanan bertaraf dunia ini turut menghimpunkan enam lagi pertarungan berkelas tinggi yang melibatkan jagoan dari pelbagai negara seperti Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda, dan Maghribi. 

Penganjuran mega ini membuktikan bahawa Malaysia kini merupakan hab utama bagi sukan tempur di rantau ini yang setanding dengan standard global.

Bagi peminat yang tidak mahu menggigit jari menyaksikan detik bersejarah ini hanya menerusi hantaran media sosial, tiket masih boleh didapati melalui laman web rasmi penganjur di pautan https://shop.ilassotickets.com.my/eventdetails.aspx?eid=RRNRqqaC1X8=

Jangan tunggu sehingga saat akhir kerana Stadium Titiwangsa dijangka bakal ‘pecah’ dengan kehadiran ribuan penyokong pada Jumaat ini untuk menyaksikan sendiri bagaimana seorang legenda bertarung demi maruah di depan mata anda!