Pertembungan gergasi ASEAN! Suphanat Mueanta tekad jadi ‘igauan ngeri’ JDT sekali lagi
Pentas bola sepak Asia Tenggara bakal bergegar apabila dua kelab paling berpengaruh, Buriram United FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, dijadualkan bertempur dalam aksi separuh akhir Piala Shopee kelab ASEAN.
Walaupun JDT sedang berada dalam prestasi terbaik, bintang muda Buriram United, Suphanat Mueanta, tampil member amaran awal iaitu tekanan hanya akan menjadikan pasukannya lebih berbahaya.
Rekod nyata tidak menyebelahi Harimau Selatan kerana dalam empat pertemuan terakhir di pentas elit Asia (AFC Champions League Elite), Buriram United masih belum mampu ditundukkan oleh juara Liga Super Malaysia itu.
Dengan rekod dua kemenangan dan dua seri, kelab dari Thailand itu memegang kelebihan psikologi yang ketara.
Lebih merisaukan buat kem JDT, Suphanat Mueanta adalah “senjata rahsia” yang sering meranapkan impian mereka.
Pemain antarabangsa Thailand berusia 23 tahun itu telah menjaringkan gol dalam dua pertemuan terakhir menentang JDT, termasuk gol tunggal yang menyingkirkan kelab Malaysia itu pada pusingan 16 terakhir musim lalu.
Dalam pada itu, bercakap mengenai pertembungan mega ini, Suphanat menegaskan bahawa sasaran Buriram adalah jelas iaitu mempertahankan gelaran juara.
“Tekanan sentiasa ada, tetapi sebagai pasukan yang pernah memenangi kejuaraan ini, kami tahu cara mengendalikannya. Matlamat kami tetap sama: mahu menjadi juara sekali lagi,” ujar Suphanat dengan penuh yakin.
Beliau juga mengakui kekuatan skuad kendalian Xisco Munoz, malah menyifatkan perlawanan ini sebagai “Final yang terlalu awal”.
Sementara itu, Suphanat bukan lagi pemain remaja yang membuat debut pada usia 15 tahun.
Selepas berkelana di Belgium bersama OH Leuven selama 14 bulan, beliau kembali ke pangkuan Buriram dengan mentaliti yang lebih kental.
“Intensiti di Eropah sangat berbeza. Ia memaksa saya untuk sentiasa memperbaiki diri tanpa menunggu arahan sesiapa,” katanya. Pengalaman antarabangsa inilah yang bakal menjadi sandaran utama Buriram untuk merobek gawang JDT di Stadium Sultan Ibrahim nanti.