Misi podium Haziq Hamzah di Terengganu Marathon 2026!

248

Debaran kian terasa menjelang pelepasan kategori Full Marathon (FM) Terengganu Marathon 2026 (TM26) awal pagi esok dengan tumpuan peminat sukan larian tanah air pastinya terarah kepada pelari marathon sensasi, Haziq Hamzah, yang diletakkan sebagai antara pilihan utama untuk mendominasi podium di Gong Badak.

Haziq yang baru sahaja pulang dari Seville Marathon mengakui bahawa beliau kini berada pada tahap prestasi yang semakin memuncak selepas melalui fasa pemulihan dan latihan intensif. 


Menurutnya, walaupun larian di Malaysia mempunyai cabaran tersendiri, Haziq melihat TM26 sebagai medan penting untuk menguji ketahanan fizikalnya.

Bercakap mengenai sasaran peribadi, Haziq bersikap realistik dengan perbezaan larian di luar negara dan dalam negara. 

Beliau menjelaskan bahawa larian di luar negara seperti di Osaka, Gold Coast, Tokyo, dan Seville adalah untuk memburu Personal Best (PB) kerana faktor cuaca dan permukaan jalan yang lebih rata.

“Bila saya berlumba di Malaysia, memburu PB itu agak mencabar disebabkan faktor cuaca, kelembapan yang tinggi serta keadaan laluan yang berbukit. Jadi, jika di Asia, target utama saya lebih kepada mengejar podium dan kemenangan hadiah wang tunai,” 

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun diletakkan sebagai pelari pilihan, Haziq tetap merendah diri dan mengakui apa-apa sahaja boleh berlaku dalam larian sejauh 42.195 kilometer itu dengan cabaran utama beliau esok bukan calang-calang, apabila perlu berhadapan dengan pemegang rekod kebangsaan, Leo Tan.

“Dalam marathon, macam-macam boleh terjadi. Walaupun saya sudah lama berlari, ada hari yang larian kita tidak menjadi. Sasaran saya tetap kedudukan terbaik iaitu tempat pertama, kedua atau ketiga. Pencabar utama saya adalah Leo Tan. Jika kalah sekalipun, kalah dengan pemegang rekod kebangsaan, itu satu penghormatan. Namun, saya pasti akan memberikan saingan yang terbaik.”

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penyertaan luar biasa lebih 33,000 pelari di Terengganu, Haziq melahirkan rasa kagum terhadap keberanian pihak penganjur. 

Baginya, keupayaan menarik jumlah peserta yang besar di luar Lembah Klang adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi industri sukan tempatan.

Haziq menyifatkan ganjaran hadiah wang tunai yang besar serta cabutan bertuah yang lumayan sebagai faktor penarik utama atlet elit dan peminat sukan larian untuk berkumpul di Terengganu.

“Kudos untuk Terengganu Marathon kerana berani menaikkan standard sukan marathon. Apabila penganjur pandai menarik crowd melalui promosi dan hadiah, lebih ramai orang akan mula berlari dan mengamalkan gaya hidup sihat. Ini adalah sesuatu yang sangat bagus untuk sukan marathon secara keseluruhannya.”