Permintaan tinggi, SCORE Marathon 2026 buka 300 slot tambahan

623

Fenomena larian terbesar di Malaysia, SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality, terus mencatatkan sejarah apabila pihak penganjur mengumumkan pembukaan 300 slot larian tambahan bagi memenuhi permintaan luar biasa daripada peminat sukan tanah air.

Edisi kali ini yang bakal berlangsung di Putrajaya pada Julai ini menyasarkan penyertaan seramai 50,000 peserta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.


Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti transformasi besar dalam komuniti sukan tempatan. 

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ini melambangkan lebih daripada sekadar angka.

“Mencapai 50,000 pelari adalah satu pencapaian besar bagi kami, tetapi yang lebih penting, ia mencerminkan bagaimana budaya larian di Malaysia telah berkembang. Apa yang kita lihat sekarang bukan sekadar pertumbuhan angka, tetapi anjakan dalam cara orang ramai mendekati sukan ini — daripada pelari kali pertama sehinggalah mereka yang mengejar prestasi tinggi,”

ujar Patricia.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan acara berskala besar ini adalah hasil sinergi padu antara penganjur dan rakan strategik.

“Menganjurkan perlumbaan pada skala ini adalah usaha kolektif. Kekuatan rakan kerjasama kami memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman keseluruhan pelari.

Kerjasama jangka panjang bersama AIA Vitality terus menjadi tunjang utama kami, manakala kehadiran adidas membolehkan kami mengangkat kualiti acara ke tahap yang lebih tinggi.”

Dalam pada itu, AIA Vitality selaku Penaja Utama menerajui barisan rakan kerjasama yang mantap bersama adidas sebagai Rakan Pakaian Sukan Rasmi, selain turut diperkukuhkan oleh EVA Air (Rakan Penerbangan Rasmi) dan Etika Sdn Bhd (Rakan Isotonik Rasmi). 

Ekosistem sokongan ini turut merangkumi Aminovital, ATF Sports Taping, Counterpain, 7 Days Bread, dan Le Minerale, yang membentuk rangkaian lengkap bagi menyokong prestasi dan nutrisi para pelari.

Bagi meningkatkan pengalaman peserta, SCORE Marathon turut menyuntik elemen teknologi AI di mana pelari kini boleh mendapatkan foto larian secara automatik melalui sistem pengecaman wajah, selain proses pengambilan pek larian yang lebih pantas menggunakan sistem HeyJom.

Sementara itu, majlis yang berlangsung di Lumi Tropicana ini turut dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, yang bakal menyertai cabaran separuh maraton pertamanya. 

Persaingan kategori elit pula akan dimeriahkan oleh jaguh maraton serantau seperti Soh Rui Yong (Singapura), serta wira tempatan Muhaizar Mohamed dan Prabudass Krishnan.

Dianjurkan sejak 2014 dengan hanya 3,674 peserta, SCORE Marathon kini menjadi acara berlabel World Athletics Road Race. Larian akan diadakan selama dua hari di Dataran Putrajaya:

  • Sabtu (18 Julai): Kategori 5km dan 10km.
  • Ahad (19 Julai): Kategori 21km dan 42km.

Untuk maklumat lanjut, layari scoremarathon.com atau ikuti media sosial rasmi di @scoremarathon (Instagram) dan SCORE Marathon (Facebook).