Malaysia Marathon 2026: Rekod dunia, teknologi Face ID & kibaran Jalur Gemilang 2KM bakal gegar KL!
Malaysia bersedia menggegarkan peta larian global apabila Malaysia Marathon diumumkan sebagai acara larian paling ikonik tahun ini sempena sambutan Hari Merdeka ke-69.
Bukan sekadar larian biasa, acara ini bakal mencipta sejarah sebagai marathon komuniti terbesar yang dianjurkan sepenuhnya oleh anak tempatan dengan standard bertaraf dunia.
Membawa pelari merentasi nadi ibu kota, acara ini akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur dan berakhir di KLCC.
Apa yang menarik, 95% laluan larian melibatkan penutupan penuh lebuh raya utama seperti AKLEH dan SUKE—satu kerjasama sulung bersama konsesi lebuh raya yang menjanjikan kualiti larian moden, selamat, dan berprestasi tinggi. Laluan ini juga telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada World Athletics Federation.
Melangkah ke hadapan dalam aspek integriti sukan, Malaysia Marathon menjadi pelopor dengan memperkenalkan sistem Face ID untuk pendaftaran.
Peserta juga diwajibkan mengambil nombor bib secara kendiri bagi memastikan tiada penyertaan palsu atau pemindahan bib tanpa kebenaran.
Langkah ini meletakkan Malaysia setanding dengan penganjuran marathon elit di peringkat antarabangsa.
Semangat cintakan negara bakal disemarakkan menerusi cubaan mencipta rekod baharu dunia iaitu pengibaran Bendera Malaysia sepanjang dua kilometer di sepanjang laluan acara.
Selain itu, penganjur turut menawarkan diskaun pendaftaran khas buat rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Hari Merdeka ke-69.
Dalam pada itu, suasana perlumbaan akan berubah menjadi festival mega dengan kehadiran lapan zon persembahan hiburan, lima pancaragam terbaik, dan konsert yang bermula seawal jam 9 pagi.
Bagi atlet elit tempatan, misi kali ini lebih bermakna dengan tawaran ganjaran RM50,000 bagi sesiapa yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan kategori 42km dan 21km. Malah, aspek kelestarian turut dijaga apabila medal kemenangan diperbuat daripada bahan zink kitar semula.
Dengan jangkaan 25,000 peserta dari 69 buah negara, slot diramal akan penuh dalam masa yang singkat.
- Akses Eksklusif (Maybank Cardholders): Bermula hari ini, 4 Mei jam 10 pagi.
- Pendaftaran Awam: Bermula 5 Mei 2026.
- Platform: Aplikasi MM atau www.malaysiamarathonofficial.com.
Yuran Pendaftaran (Warganegara):
- 5KM: RM65
- 10KM: RM80
- 21KM: RM95
- 42KM: RM120
Ayuh Malaysia, ikat tali kasut anda dan jadilah sebahagian daripada sejarah baharu dunia marathon global!